Chery Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan platform Chery Super Hybrid (CSH) di Malaysia, di mana platform dengan unit rangkaian kuasa tersebut bakal diperkenalkan pada Chery Tiggo 7 PHEV CSH dan juga Tiggo 8 PHEV CSH yang dirancang untuk dilancarkan ke pasaran tempatan tak lama lagi.
CSH merupakan sistem hibrid generasi baharu Chery yang dihasilkan menerusi penambahbaikkan dan diperhalusi dari sistem hibrid generasi sebelumnya. Antara penambahbaikkan yang dibuat adalah pemadanan enjin petrol yang lebih efisien, jarak gerak pemanduan menggunakan elektrik sepenuhnya yang lebih jauh dan juga peralihan mod sama ada dari mod EV penuh, atau hibrid yang melibatkan enjin pembakaran dalaman berfungsi lebih lancar tanpa ada rasa seperti enjin dihidupkan.
Penggerak utama bagi sistem PHEV CSH ini adalah kotak gear khusus hibrid (DHT) tiga-kelajuan yang diintegrasikan sekali dengan dua buah motor elektrik yang bersaiz kompak. Ia digandingkan dengan enjin petrol turbo kitaran Miller yang khas dihasilkan untuk sistem hibrid ini, menampilkan kadar keberkesanan suhu yang lebih baik sehingga boleh mencapai 44.5%, seterusnya memberikan pengunaan bahan api yang lebih rendah.
Selain dari menggerakkan kereta bersama-sama kotak gear DHT, enjin ini juga sebenarnya boleh mengecas semula bateri ketika sedang berjalan. Model-model PHEV dibekalkan dengan bateri keluaran CATL, yang diletakkan pada bawah lantai seakan sebuah EV sebenar.
Bagi Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV pasaran Malaysia ini dibekalkan dengan unit rangkaian kuasa CSH yang sama. Ia menerima enjin 1.5 liter empat silinder turbo yang mampu menghasilkan kuasa 154 hp dan tork maksima 220 Nm. Enjin ini digandingkan dengan transmisi khas hibird DHT tiga-kelajuan dan juga dua motor elektrik dengan kuasa 201 hp dan tork 310 Nm, yang menerima tenaga elektrik dari bateri LFP 18.3 kWj. Model pasaran tempatan ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 347 PS dan tork maksima 525 Nm, memacu sepenuhnya roda hadapan.
Dengan sistem PHEV bermakna bateri yang dibekalkan boleh dicas semula seperti EV sebenar. Ia boleh menerima cas dari Wallbox AC 6.6 kW di mana bateri boleh dipenuhkan dalam masa tiga jam. Manakala dengan sistem pengecas pantas DC 40 kW, kuasa dari 30% hingga 80% boleh dipenuhkan dalam masa 19 minit. Sistem ini turut boleh menerima cas dari plag tiga-pin biasa, di mana ia memerlukan masa selama 8.5 jam untuk memenuhkan cas bateri tersebut dari 10% hingga 100%.
Dengan satu tangki petrol penuh berkapasiti 60 liter, Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV ini didakwa boleh bergerak lebih dari 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP. Manakala dengan satu cas bateri penuh, ia boleh bergerak sejauh 95 km tanpa enjin petrol dihidupkan langsung. Sekiranya kadar cas bateri berada pada tahap 25%-100%, penggunaan bahan api yang dicatatkan adalah pada 1.3L/100 km, manakala dengan kadar cas bateri rendah iaitu di bawah 25%, penggunaan bahan api masih boleh mencapai 4.9L/100 km.
Unit rangkaian kuasa CSH ini memberikan rasa pemanduan yang lebih hampir kepada sebuah EV sebenar berbanding sistem-sistem PHEV lain. Kami sudah merasai pengalaman memandu unit rangkaian kuasa CSH tersebut di China, tetapi dalam badan sedan Arizzo 8 dan juga SUV besar Tiggo 9, dan untuk lebih mengetahui lebih lanjut bagaimana sistem CSH ini berfungsi, anda boleh baca laporan pandu uji tersebut pada PAUTAN INI.
Selain dari memberikan keberkesanan bahan api dan juga pemanduan berprestasi, pek bateri sistem CSH ini turut menampilkan perincian keselamatan yang tinggi. Bateri LPF berkenaan telah menerima pengiktirafan IP68, di mana selain ia kalis habuk dan air, ia juga boleh bertahan sehingga 95 darjah selsius.
Sebelum ini juga bateri tersebut telah diuji di Jakarta dengan direndam dalam air laut selama lebih dari 53 jam, kemudian di pasang semula pada Tiggo 8 CSH dan masih lagi berfungsi. Manakala dalam ujian baru-baru ini China, sebuah Tiggo 9 PHEV telah melepasi ujian keselamatan yang ekstrem, termasuk ujian pelanggaran berhadapan dan bergolek, ujian disusun bertingkat sebanyak tujuh buah kereta antara satu sama lain, ujian pelanggaran sisi 55 km/j, ujian jatuhan setinggi 4.9 meter, dan pendedahan terhadap semburan garam selama 720 jam.
Kedua-dua Tiggo 7 dan Tiggo 8 PHEV CSH ini telahpun didedahkan di Malaysia Autoshow 2025 pada Mei lalu, di mana spesifikasinya boleh anda baca pada PAUTAN INI untuk Tiggo 7 dan PAUTAN INI untuk Tiggo 8. Namun Chery Malaysia masih belum mengumumkan sebarang harga dan bila tarikh sebenar ia akan dilancarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.