Geely Galaxy E5 bakal menerima kemas kini di pasaran China, dengan jualan awal model SUV elektrik yang diperbaharui itu dijadualkan bermula pada 24 Julai ini – lapor CarNewsChina. Model ini pertama kali dilancarkan di China pada Ogos 2024 dan sejak itu ia dinamakan semula sebagai Geely EX5 untuk pasaran global. Di Malaysia, ia dikenali sebagai Proton eMas 7.
Bagi model tahun 2026, Galaxy E5 akan ditawarkan dalam dua warna luaran baru iaitu Dawn Blue dan Evening Forest Green. Dari aspek reka bentuk, model ini tidak mengalami sebarang perubahan ketara dan mengekalkan dimensi yang sama seperti versi sebelum ini.
Perubahan utama terletak pada penggunaan bateri baru jenis lithium iron phosphate (LFP) yang dinamakan Aegis. Bateri ini mempunyai kapasiti tenaga yang lebih tinggi, iaitu 68.39 kWh dan terus membekalkan kuasa kepada motor elektrik pacuan hadapan yang menghasilkan 218 PS (bersamaan 215 hp atau 160 kW) dan tork 320 Nm. Dengan kapasiti bateri yang lebih besar, jarak pemanduan turut meningkat kepada 610 km mengikut piawaian CLTC.
Di pasaran China ketika ini, Galaxy E5 ditawarkan dalam dua pilihan bateri LFP iaitu 49.52 kWh untuk jarak 440 km dan 60.22 kWh untuk 530 km. Bateri baru ini menawarkan peningkatan kapasiti sekitar 13.6% berbanding bateri 60.22 kWh dan memberikan tambahan jarak sekitar 15.1%.
Di China, harga semasa untuk Galaxy E5 adalah antara 107,800 hingga 179,800 yuan, iaitu sekitar RM64,000 hingga RM106,000. Buat masa ini, harga rasmi bagi model versi kemas kini masih belum diumumkan, namun dijangka akan diketahui dalam beberapa hari lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.