Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia tahun lepas, Honda ADV 350 kini diberi beberapa peningkatan, tetapi masih mengekalkan harga sama, iaitu RM33,999 tidak termasuk insurans. Pilihan warna untuk model baru ini adalah Moscato Red Metallic, Matte Pearl Agile Blue dan Matte Gun Powder Black Metallic.
Naik taraf utama bagi model tahun 2025 ini adalah di bahagian meter, di mana ia sekarang mendapat unit TFT lima inci yang boleh disambung kepada telefon melalui bluetooth dan aplikasi RoadSync, seterusnya membenarkan pengguna mengawal fungsi panggilan, muzik dan navigasi melalui butang di bahagian kiri pemegang.
Menambahkan ciri praktikalitinya, ruang simpanan 48 liter di bawah tempat duduk kini dipasang dengan lampu supaya memudahkan pengguna melihat barangan yang disimpan. Dalam poket barangan di bawah pemegang pula terdapat soket pengecas USB-C.
Bukan itu sahaja, suspensi belakang yang terdiri daripada dua penyerap hentak Showa dengan tabung kini dilengkapi dengan spring yang boleh dilaras (pra beban) manakala lampu penunjuk arah kini mempunyai fungsi padam sendiri.
Bahagian lain tidak berubah termasuk enjin, yang menggunakan unit satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-Fi 330 cc, bersama transmisi automatik CVT dan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan kuasa 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.8 Nm tork pada 5,250 rpm.
Kelengkapan lain ADV 350 adalah termasuk rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, fork USD 37 mm di hadapan, brek cakera hadapan dan belakang dengan ABS dual-channel, penghadang angin hadapan boleh laras, sistem kunci pintar, tangki bahan api 11.7 liter dan sistem keselamatan Honda Selectable Torque Control (HSTC).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.