Jalan Raya Timur-Barat, atau JRTB (Gerik-Jeli) berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan. Itu dijelaskan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi seperti dilaporkan Bernama.
“Secara fizikalnya, JRTB berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan,” jelas Alexander dalam satu kenyataan, dan menjelaskan bahawa laluan itu dikategorikan sebagai permukaan berbukit, dan jajarannya direka untuk mengikut bentuk permukaan Banjaran Titiwangsa.
Kenyataan oleh Menteri Kerja Raya itu adalah susulan kemalangan bas di Gerik yang meragut nyawa 15 nyawa siswa sebelum ini, dan menarik tumpuan umum terhadap laluan itu yang dikritik kerana banyak kemalangan berlaku.
Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyatakan lebih 80% kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh sikap manusia — laporan awal kejadian bas di Gerik mendapati ia dipandu laju, yang menjadi antara faktor penyumbang — sementara intrastruktur dan keadaan jalan hanya menyumbang kepada 13% kemalangan. Alexander berkata, kementeriannya tidak pernah mengabaikan aspek penyelenggaraan jalan dan kemudahan lain yang berada di bawah bidang kuasanya.
JRTB merupakan sebahagian daripada Laluan 4 Persekutuan (FT4), yang menghubungan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan. Berdasarkan maklumbalas trafik tahun lalu, laluan dengan dua lorong itu kekal berada dalam keadaan servis yang baik, dan keadaan semasanya mampu menampung kadar trafik semasa, ujar beliau.
Dibuka kepada umum pada 1982, JRTB mempunyai jumlah purata trafik harian sebanyak 1,409 kenderaan, termasuk 751 kenderaan berat yang menyumbang sebanyak 31.2% daripada jumlah tersebut.
Kementerian Kerja Raya telah membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan penyelenggaraan JRTB boleh dilakukan secara berperingkat, jelas Alexander. Peruntukan khas juga telah disediakan di bawah belanjawan negara untuk kerja-kerja naik taraf JRTB, dengan keutamaan diberikan antaranya terhadap lampu jalan, permukaan jalan serta peningkatan sistem keselamatan terutama di kawasan berisiko tinggi.
Untuk perancangan jangka pendek, RM55 juta telah diperuntukkan untuk membaiki JRTB, dan pelaksanaannya sudah bermula sejak April lalu, dan dijangka siap sepenuhnya awal November nanti.
Daripada jumlah tersebut, RM35 juta telah diluluskan untuk memperbaiki permukaan jalan di lokasi kritikal, sementara RM14.5 juta diperuntukan untuk kerja-kerja lain seperti mengganti pagar penghadang, pemasangan papan tanda amaran di selekoh berbahaya, pembinaan parit dan mengecat semula garis dan penghadang jambatan, jelas beliau.
Sejumlah RM3.59 juta pula diperuntukan untuk naik taraf lampu jalan dengan pemasangan lampu kuasa solar di kawasan gelap dan berisiko tinggi. RM4 juta lagi diperuntukkan untuk penilaian permukaan jalan yang akan dijalankan di sepanjang seksyen FT4 di Perak.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.