Sebuah unit ujian Omoda C7 telah dilihat sedang bergerak di Lebuhraya Utara-Selatan, seperti yang dikongsi oleh Iman Hakeem dalam kumpulan Facebook paultan.org Automotive/Car Discussion Group. Model ini pertama kali dipertonton pada Mei lalu dan dijangka menjadi model pertama yang dilancarkan menggunakan jenama Omoda sendiri.
Omoda C7 yang ditemui ini merupakan versi enjin petrol, dapat dikenal pasti melalui penutup tangki minyak tunggal di bahagian tepi. Ia dijana oleh enjin empat silinder 1.6 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 197 PS dan tork 290 Nm. Enjin ini digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar basah tujuh kelajuan serta pilihan pacuan roda hadapan (FWD) atau semua roda (AWD).
Selain varian petrol, Omoda C7 turut akan ditawarkan dalam versi hibrid menggunakan sistem Super Hybrid seperti yang digunakan pada model J7 PHEV. Versi ini menampilkan enjin 1.5 liter turbo khas untuk hibrid dengan output 156 PS dan 220 Nm, digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 204 PS dan tork 310 Nm. Transmisi juga adalah jenis khas untuk hibrid dengan satu kelajuan (DHT). Secara keseluruhan, gabungan sistem ini mampu menghasilkan 360 PS dan 530 Nm — peningkatan sebanyak 13 PS dan 5 Nm berbanding J7 PHEV.
Untuk kuasa elektrik, sistem hibrid ini dilengkapi bateri Blade LFP berkapasiti 18.3 kWh yang dibekalkan oleh BYD. Ia mampu memberi jarak pemanduan sehingga 95 km menggunakan kuasa bateri sepenuhnya, manakala jarak keseluruhan mencecah 1,250 km apabila tangki bahan api penuh digunakan bersama sistem hibrid.
Bahagian dalaman Omoda C7 hadir dengan pelbagai ciri moden, antaranya skrin infotainmen bersaiz 15.6 inci yang boleh digerakkan dari tengah papan pemuka ke bahagian penumpang. Sistem audio pula menggunakan tetapan “12+2” pembesar suara daripada Sony lengkap dengan sistem pembatalan bunyi aktif.
Rekaan papan pemuka tampil dengan pendekatan minimalis seperti kebiasaan pada model-model terkini, manakala sterengnya berbentuk bujur. Tempat duduk hadapan direka menyerupai kerusi permainan video, yang asalnya diinspirasikan daripada tempat duduk kereta lumba dan menggunakan balutan kulit nubuck.
Pada masa ini, pendaftaran minat untuk Omoda C7 telah dibuka di laman web rasmi Omoda Jaecoo, menandakan bahawa pelancaran rasminya untuk pasaran Malaysia dijangka berlaku tidak lama lagi.
GALERI: Omoda C7 yang dipertonton di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.