Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’ sebentar tadi.
Buat masa ini, harga runcit petrol RON95 yang telah mencapai harga siling ditetapkan pada kadar RM2.05 seliter. Penurunan harga yang baru diumumkan oleh PMX ini bermakna harganya dikurangkan sebanyak enam sen seliter,
Menurut PMX, kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak.
“Apa yang pasti, sepertimana pendekatan penyasaran subsidi elektrik, kerajaan beri jaminan rakyat biasa tidak akan terjejas. Bahkan, sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat.
“Apabila penyasaran subsidi RON95 dilaksanakan nanti, rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM1.99 seliter. Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat dan mengurangkan pembaziran subsidi.
“Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun—sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,” katanya lagi.
Walau bagaimana pun, menurut beliau, pada masa yang sama, warganegara asing perlu membayar harga petrol RON95 mengikut harga pasaran tanpa subsidi iaitu RM2.50 seliter.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.