Muncul pertama kali di Goodwood Festival of Speed awal bulan ini, Honda Super EV Concept kini membuat penampilan sulungnya di rantau ini di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS 2025).
Model konsep ini memberi petunjuk kepada versi pengeluaran bagi sebuah kereta elektrik hatchback segmen A oleh Honda, dan akan menawarkan penawaran yang lebih meluas berdasarkan pendahulunya dalam pasaran, Honda e, yang sudah ditamatkan pengeluarannya pada 2023.
Tidak seperti Honda e yang hanya dijual di pasaran Jepun dan Eropah, syarikat itu mungkin akan memperluaskan pasaran bagi model produksi berasaskan Super EV Concept ini nanti.
Kereta kompak ini hadir dengan rekaan yang berkotak berbanding model e, namun tetap menarik perhatian. Unit ini masih mengenakan pelekat samaran luaran yang sama ketika penampilan sulungnya, namun tetap menampakkan rekaan di sebaliknya dengan lebih jelas. Rekaan lampunya bulat, dengan port pengecasan di depan, seperti dicadangkan oleh penutup di panel depan. Bagaimanapun, masih belum kelihatan ruang kabinnya.
Teaser yang didedahkan selepas kemunculan Super EV ini, iaitu berkaitan N-One e: mungkin memberi petunjuk kepada nama versi produksi model ini, mungkin untuk pasaran domestik di Jepun.
Ketika ini belum ada sebarang spesifikasi yang didedahkan berkaitan Super EV ini, melainkan slogan yang digunakan untuk menunjukkan yang kereta ini nanti akan memberikan “pengalaman pemanduan yang mendebarkan.” Ada kemungkinan ia nanti akan menggunakan janaan motor di gandar belakang seperti Honda e.
Output untuk versi pasaran global boleh dijangka akan memberikan angka lebih tinggi daripada model JDM kei car, dan mungkin menghampiri janaan model e — 100 kW (136 PS) dan 113 kW (154 PS), dengan maksimum tork 315 Nm.
Perubahan paling besar mungkin dilakukan terhadap bateri dan jaraknya, dengan pek bateri 35.5 kWh dan 220 km bagi model e dijangka akan dipertingkatkan kepada antara 300 hingga 400 km WLTP. Selebihnya, kita nantikan perincian rasmi mendekati tarikh pengenalannya kelak, dijangka dalam tahun ini juga.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.