Dalam pengumuman ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’ sebentar tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengesahkan, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan untuk 10 lebuhraya pada tahun ini.
“Tahun ini, 10 lebuhraya dijadual untuk kenaikan kadar tol sepertimana perjanjian. Bagaimana pun, kerajaan bersetuju menangguh kenaikan tersebut supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama. Susulan itu, kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta.
“Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya.
Kerajaan sebelum ini berjaya mengelakkan kenaikan kadar tol pada tahun 2022 apabila ia mengambil alih empat lebuhraya di bawah kendalian Kumpulan Gamuda bagi menjimatkan subsidi sebanyak RM4.3 bilion dan mengelakkan kenaikan kadar tol. Kerajaan kemudiannya menetapkan kadar tol semasa bagi lebuhraya tersebut untuk tempoh sepuluh tahun akan datang. Pada tahun 2023, dilaporkan bahawa Malaysia sedang mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh konsesi lebuh raya kepada 30 tahun bagi mengekalkan kadar tol sedia ada, walaupun tiada pengumuman rasmi telah dibuat setakat ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.