Lexus LM diberi kemas kini di Jepun – kurang bunyi dan gegaran, buka pintu belakang lebih mudah

Lexus LM diberi kemas kini di Jepun – kurang bunyi dan gegaran, buka pintu belakang lebih mudah

Di Jepun, Lexus mengumumkan beberapa pembaharuan untuk model MPV mewah mereka, LM dan ia akan mula ditawarkan di pasaran Jepun bermula 1 Ogos 2025. Model ini hanya ditawarkan dalam versi LM 500h dan hadir dalam dua konfigurasi tempat duduk — empat tempat duduk (varian Executive) dengan harga 20.1 juta yen (sekitar RM578,000) dan enam tempat duduk (Version L) pada harga 15 juta yen (sekitar RM432,000). Harga ini termasuk cukai penggunaan tempatan.

Antara peningkatan utama yang diumumkan termasuk penggunaan bahan penebat bunyi dan penyerap getaran yang ditambah dan diperluaskan di bahagian rumah roda belakang serta pintu belakang. Tujuannya adalah untuk mengurangkan bunyi jalan dari tayar belakang dan getaran dari pintu belakang.

Untuk varian Executive, Lexus kini memindahkan butang kawalan pintu gelungsur automatik dari bahagian atas kepada konsol tengah di bahagian tempat duduk belakang. Ini membolehkan penumpang mengakses suis pintu dengan lebih mudah tanpa perlu mengangkat tangan ke atas. Ruang asal butang kawalan itu kini diganti dengan lampu bawah (downlight) untuk pencahayaan tambahan dan turut disediakan sebuah dulang kecil untuk menyimpan telefon pintar dan barangan peribadi.

Lexus LM diberi kemas kini di Jepun – kurang bunyi dan gegaran, buka pintu belakang lebih mudah

Pencahayaan dalam kabin turut ditambah baik. Kedua-dua varian Executive dan Version L kini hadir dengan tahap kecerahan maksimum yang lebih tinggi, membolehkan penumpang melaras pencahayaan mengikut keselesaan masing-masing.

Dari segi mekanikal, tiada perubahan dilakukan. LM 500h masih menggunakan enjin petrol 2.4 liter turbo empat silinder sebaris (T24A-FTS) yang menghasilkan 275 PS dan 460 Nm tork. Enjin ini digabungkan dengan motor elektrik hadapan (1ZM) berkuasa 87 PS dan 292 Nm dan digerakkan menerusi transmisi automatik Direct Shift enam kelajuan.

Lexus LM diberi kemas kini di Jepun – kurang bunyi dan gegaran, buka pintu belakang lebih mudah

Satu lagi motor elektrik diletakkan di bahagian belakang (1YM) dengan kuasa 103 PS dan 169 Nm, menjadikan sistem pacuan semua roda (AWD) dengan jumlah kuasa keseluruhan 371 PS dan 550 Nm. Sistem hibrid ini disokong oleh bateri nickel metal hydride berkapasiti 28.8 volt dan 5 Ah.

Generasi kedua bagi Lexus LM ini pertama kali diperkenalkan pada April 2023 dan dilancarkan di Malaysia pada Mei 2024. Pasaran tempatan menerima dua varian — LM 500h empat tempat duduk pada harga RM1.468 juta dan LM 350h tujuh tempat duduk pada harga RM1.228 juta, kedua-duanya tanpa insurans.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required