Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah mengumumkan pelantikan jaguh basikal kebangsaan, Datuk Azizulhasni Awang sebagai duta pertama mereka. Digelar ‘The Pocket Rocketman’, pemilihan Azizulhasni sebagai duta VW ini dilihat sebagai langkah yang cukup tepat memandangkan atlet berasal dari Terengganu ini cukup banyak mengharumkan nama negara.
“Kisah Azizulhasni adalah tentang cita-cita, ketangkasan dan semangat luar biasa. Seperti kereta kami, beliau melambangkan prestasi yang berdaya tahan dan penuh makna. Beliau bukan sahaja juara di trek — malah menjadi contoh teladan di luar trek. Kami berbesar hati menerima beliau sebagai sebahagian daripada keluarga Volkswagen.
“Kerjasama ini melangkaui sokongan jenama secara tradisional. Ia mencerminkan hubungan mendalam dengan rakyat Malaysia yang menghargai prestasi, integriti, dan keyakinan jangka panjang terhadap apa yang mereka pandu,” kata Renate Noessler, Pengarah Urusan VPCM.
“Saya sentiasa percaya bahawa kejayaan dibina berdasarkan konsistensi, ketelitian dan keberanian untuk menghadapi cabaran, nilai-nilai yang selari sepenuhnya dengan Volkswagen. Dipilih sebagai duta pertama mereka adalah satu penghormatan. Kerjasama ini bukan sekadar tentang kereta atau berbasikal — ia adalah tentang memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk pergi lebih jauh, lebih pantas dan tidak mudah berpuas hati,” ujar Azizulhasni.
Menerusi kerjasama ini, Azizulhasni akan ditampilkan dalam kempen, acara dan kandungan digital Volkswagen yang akan datang. “Ia juga menjadi titik penyatuan bagi pemilik Volkswagen yang berbangga menjadi sebahagian daripada jenama yang mengutamakan kualiti, keunikan dan hubungan sesama manusia,” kata syarikat menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.