Tidak lama selepas Geely mengesahkan nama Starray EM-i untuk model pasaran globalnya bagi Galaxy Starship 7, SUV plug-in hybrid itu membuat penampilan sulung di ASEAN — dalam bentuk pemanduan sebelah kanan — di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS). Tiada mengena dengan model Starray biasa, model ini dijangka tiba di Malaysia sebegai Proton eMas 7 PHEV, yang trademark namanya sudah difailkan di sini.
Sama seperti Geely EX5/Proton eMas 7 elektrik penuh, Starray EM-i menggunakan asas Global Intelligent New Energy Architecture (GEA), tetapi dengan sistem janaan Super Hybrid EM-i (E-Motive Intelligence) oleh Geely sendiri. Spesifikasi untuk pasaran Australia menunjukkan model ini menggunakan enjin 1.5 liter BHE15PFI NA empat-silinder yang menghasilkan sebanyak 99 PS dan 125 Nm — angka yang lebih rendah berbanding di pasaran China, (111 PS dan 136 Nm).
Digandingkan dengan transmisi 11-kepada-1 khusus hibrid elektrik (E-DHT) yang menggabungkan integrated starter-generator P1 dengan motor pemacu P3, ia menjana sebanyak 218 PS (160 kW) dan 262 Nm. Output keseluruhan ialah 262 PS, dihantar ke roda depan.
Motor P3 menggunakan teknologi silicon carbide untuk mengoptimumkan pengurusan suhu dan memastikan kuasa puncak tanpa mengira keadaan cas semasa bateri, dakwa Geely. Dengan keadaan cas bateri yang rendah, kadar penggunaan minyak Starray EM-i disifatkan mampu memberikan serendah 6.2 liter per 100 km.
Selain output enjin yang lebih rendah, Starray EM-i untuk pasaran global dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 18.4 kWh yang lebih kecil, berbanding 19.09 kWh yang digunakan untuk Starship 7 yang memberikan jarak elektrik 120 km mengikut kitaran CLTC. Untuk jarak WLTP, ia sekitar 100 km. Fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kWh juga dijangka akan disediakan.
Geely memaklumkan sistem EM-i telah dibangunkan untuk menawarkan pemanduan yang lebih cekap kos denga jarak yang lebih jauh dan penggunaan bahan api yang rendah. Tiga mode pemanduan disediakan — Pure untuk elektrik penuh, Hybrid untuk penukaran antara elektrik dan petrol agar lebih cekap, dan Power yang mengabungkan kedua-duanya untuk prestasi maksimum.
Untuk bahahian luaran, Starray EM-i nampak sama dengan Starship 7 — misalnya jalur lampu penuh di depan dan belakang, lampu utama terpisah dan pemegang pintu konvensional. Lain pula ceritanya di dalam, kerana ia menggunakan versi yang ada pada EM5/eMas 7.
Ini bermakna ia akan turut dilengkapi antara lain oleh paparan instrumen 10.2-inci, skrin sentuh infotainmen 15.4-inci, barisan suis kawalan fizikal dan tombol multi-fungsi besar, tempat letak cawan serta pemegang telefon berkembar (dengan pengecas tanpa wayar Qi di sebelah pemandu).
Penggunaan rekaan ruang dalaman yang sama ini memudahkan penukaran pemanduan sebelah kanan untuk Geely, dan memudahkan kilang juga kerana sudah menghasilkannya untuk EX5/eMas 7, dan kilang Proton di Tanjong Malim juga sedang dipersiapkan untuk mengeluarkan eMas 7 menjelang tahun ini — mempercepatkan lagi pengeluaran model PHEV ini nanti.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.