Selepas membuat kemnuculan sulung dikhalayak ramai dan tempahannya mula dibuka ketika berlangusngnya Malaysia Autoshow 2025 Mei lalu, hari ini Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) mengumumkan versi lebih sporty bagi SUV segmen-B Nissan Kicks iaitu Kicks e-Power Impul Edition sudahpun mula dijual pada pasaran tempatan.
Model edisi khas ini menampilkan kit badan Impul yang terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, perapi aero pada skirt sisi, diffuser pada bampar belakang, spoiler bumbung berbentuk-M, emblem impul pada hujung bonet hadapan, serta set roda yang terdiri dari rim aloi Impul Aura SX-50 18-inci kemasan gangsa yang digilap bersama tayar Goodyear Eagle F1 Sport 225/45R18.
Pembeli boleh memilih untuk menghasilkan Kicks Impul Edition ini dalam kedua-dua varian pasaran Malaysia iaitu VL dan VLT, dengan pakej lengkap berharga RM8,500. Ada juga pakej yang hanya menampilkan kit badan, spoiler bumbung dan emblem bonet dijual pada harga RM5,000, pakej hanya untuk rim dan tayar berharga RM3,500 (ditawarkan terhad hanya 50-set), atau hanya spoiler bumbung belakang berharga RM3,000. Semua aksesori Impul ini dilindungi oleh waranti selama tiga-tahun atau 100,000 km.
Tiada sebarang peningkatan kuasa dan juga prestasi lain ditawarkan dalam pakej Impul ini. Nissan Kicks e-Power ini merupakan model hibrid jenis range extender di mana enjin petrol yang dibekalkan hanya untuk mengecas bateri, manakala tayar hadapan dipacu sepenuhnya dengan motor elektrik.
Ia menampilkan enjin petrol HR12DE 1.2 liter NA tiga-silinder menghasilkan kuasa 82 PS/103 Nm yang hanya untuk mengecas bateri berkapasiti 2.06 kWj, bersama motor elektrik tunggal pada gandar hadapan berkuasa 129 PS dan tork maksima 280 Nm untuk memacu roda.
Gandingan ini membolehkan ia mencapai penggunaan bahan api 21.7 km/l (NEDC) dan boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 900 km dengan satu tangki petrol berkapasiti 41 liter.
Tanpa kit Impul, varian VL dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM113,800 manakala varian VLT berharga RM121,800. Pelanggan turut memilih cat badan dua tona dengan bumbung hitam pada varian VLT yang meningkatkan harganya kepada RM125,800.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, ETCM menggalakkan orang ramai yang berminat dengan Nissan Kicks e-Power ini untuk datang ke bilik pameran Nissan terdekat untuk memandu uji dan menikmati promosi masa terhad khas sempena pelancarannya, berupa tingkat taraf Aerokit Impul bernilai RM5,000 secara percuma
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.