Proton X50 2025 dilancar di Malaysia — tiga varian, 1.5L empat-silinder 181 PS/290 Nm, dari RM86k

Proton X50 2025 dilancar di Malaysia — tiga varian, 1.5L empat-silinder 181 PS/290 Nm, dari RM86k

Selepas hampir sebulan perincian rasmi berkaitan Proton X50 facelift 2025 didedahkan secara rasmi, kini model SUV segmen B itu dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia. Ditawarkan dalam tiga varian, harga bagi setiap varian adalah seperti berikut:

  • Proton X50 1.5TD Executive — RM89,800
  • Proton X50 1.5TD Premium — RM101,800
  • Proton X50 1.5TD Flagship — RM113,300
  • *Harga atas jalan, belum termasuk insurans.

Namun, bagi 10,000 pembeli terawal, mereka akan menikmati harga pengenalan dengan rebat tunai sebanyak RM4,000, menjadikan harganya seperti berikut: RM85,800 (Executive); RM97,800 (Premium); dan RM109,300 (Flagship) sebelum 31 Oktober 2025.

Dengan potongan harga ini, harga permulaan X50 2025 adalah RM500 lebih rendah berbanding model RC sebelum ini, walaupun variannya bermula dengan Executive dengan lebih banyak kelengkapan. Berbanding penawaran Executive sebelum ini, varian paling asas terbaru ini lebih murah sebanyak RM7,500. Premium dan Flagship pula kini RM4,000 lebih murah. Proton memaklumkan, segala naik taraf kelengkapan yang diberikan terhadap model terbaru ini bernilai lebih RM15,000.

Dari segi rekaan, X50 2025 dapat dibezakan dengan ketara daripada versi sebelumnya. Gril depan kini lebih nipis, dengan perincian “anyaman” yang juga berbeza. Masih dikekalkan unsur busur panah dalam warna merahnya. Untuk lampu juga baru, dengan rekaan lebih tipis dan semuanya LED. Perbezaan paling utama untuk wajah depannya ini ialah rekaan bamparnya — ia kini lebih besar dan jelas kelihatan bahagian hitam, seolah-olah mulut yang agak besar untuk SUV ini — dengan kemasan krom ala bukaan udara di bucu kiri dan kanannya.

Rim diberikan rekaan baru: kini bersaiz 18-inci dengan rekaan “diamond cut” dua-tona warna. Beralih ke belakang, dari atas akan ada kelihatan kelainan yang ditampilkan untuk versi terbaru ini, dengan dua barang yang berbeza rekaannya — spoiler sport; untuk varian paling tinggi, kehadirannya lebih ketara, tajam dan besar.

Proton X50 2025 dilancar di Malaysia — tiga varian, 1.5L empat-silinder 181 PS/290 Nm, dari RM86k

Lampu belakang kini dengan jalur berkelebaran penuh LED, dengan rekaan yang juga semakin nipis dalam lekuk tersendiri, dengan tulisan Proton berada kemas di bawahnya. Sporty memang dijadikan mantra paling utama bagi X50 2025 ini — rekaan bawah bampar belakang walaupun tampil dengan garisan-garisan yang lebih ringkas dan kemas, tetap diberikan empat muncung ekzos sebagai visualnya.

Di dalam kabin ada banyak peningkatan. Antaranya X50 2025 kini datang dengan papan pemuka yang lebih rata dan ringkas. Di tengahnya, terletak sebuah skrin infotainmen yang lebih besar dengan saiz 14.6-inci. Skrin berkenaan mempunyai paparan HD penuh (1920 x 1080), paparan skrin lebar 16:9, pemproses quad-core dengan 6GB RAM dan 64GB storan ROM serta Android 10 System.

Selain itu, ciri Voice Command yang ada padanya sudah boleh dikendalikan dalam Bahasa Melayu; ini ciri seumpamanya yang pertama dalam industri ketika ini sebagai tambahan kepada arahan dalam Bahasa Inggeris seperti sebelum ini. Ia akan menerima arahan suara bagi tindakan seperti “Hi, Proton!” untuk buka tingkap, hidupkan pendingin, mainkan muzik, dan tunjuk arah ke destinasi.

Antara pembaharuan paling besar yang sangat ditunggu-tunggu untuk model-model Proton juga kini akan ditawarkan melalui X50 2025 terbaru, apa lagi kalau fungsi sambungan Apple CarPlay dan Android Auto yang akhirnya tiba setelah sekian lama ditunggu.

Proton X50 2025 dilancar di Malaysia — tiga varian, 1.5L empat-silinder 181 PS/290 Nm, dari RM86k

Lampu ambient mengikut ritma, dengan 72-warna juga tersedia sebagai tambahan terbaru. Bahagian konsol tengahnya lebih tinggi dan lapang, dengan adanya ruang pengecasan telefon tanpa wayar (untuk varian paling tinggi) berlapik material seakan baldu di tengah, yang boleh juga digunakan sebagai ruang meletak barang (dengan kapasiti 10 liter tersedia di bawah konsol tengah).

Skrin panel instrumen untuk pemandu yang baru juga menggantikan meter lama: paparan LCD bersaiz 8.88-inci, yang terletak sedikit terselindung di celahan stereng. Selain itu, tuil pemilih gear juga dialih kepada jenis pemilih kolum dan terletak di belakang sebelah kanan stereng. Untuk slot USB, kini ada empat; di depan ada satu jenis Type A dan satu Type C, sementara di belakang pun lengkap dengan sepasang ciri yang sama. Ada juga pelindung matahari semi-telus untuk mengelakkan silau kepada pemandu.

Perubahan paling utama bagi X50 2025 ini ialah enjinnya. Enjin tiga-silinder sebelum ini tidak lagi akan digunakan, dan diganti dengan unit i-GT 1.5TD empat-silinder yang menjana sebanyak 133 kW (181 PS) pada 5,500 rpm dan tork sebanyak 290 Nm dari 2,000 rpm-3,500 rpm. Enjin baru ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat, iaitu 0.3 saat lebih pantas berbanding sebelumnya. Menurut Proton, kadar penggunaan minyaknya juga 4.7% lebih jimat.

Dengan pengenalan versi terbaru ini, X50 hanya akan ditawarkan dengan satu versi enjin suntikan terus sahaja dan tiada lagi versi port injection yang sebelum ini diberikan untuk varian lebih rendah; dan kedua, enjin berkenaan akan digunakan oleh semua model ICE Proton yang diambil dari Geely (X70, S70, X90). Sementara itu, untuk Saga yang akan datang, ia akan menerima unit BHE15PFI 1.5 liter port injection enjin yang sama ini, tanpa turbo.

Selain itu, tiga mod pemanduan yang sedia ada sebelum ini masih dikekalkan — Normal, Sport dan Eco. Dan kini tambahan satu lagi mod yang diperkenalkan ialah Adaptive Mode; kereta akan menerapkan pemanduan mengikut keperluan dan peralihan lancar mengikut corak dinamik pemanduan pemandu secara khusus.

Bagi aspek keselamatan, sistem ADAS Tahap 2 yang ada pada X50 2025 ini juga diberikan kemaskini dan peningkatan. Ia masih menggunakan sistem kamera tunggal, yang mana kini turut disertai oleh fungsi baru, Rear Side Radar System (RSRS) yang menggunakan dua radar gelombang milimeter dan juga empat kamera definisi tinggi 360-darjah dengan pandangan telus 180-darjah. Jumlah sensornya juga ditambah menjadi 12. SUV ini juga hadir dengan enam beg udara SRS.

Kamera monokular di depan mampu membaca situasi sehingga 170 meter, sementara sensor di belakang pula mampu mengesan hadangan dalam jarak hingga 80 meter. Bagi fungsi RSRS, ia terdiri daripada empat fungsi tambahan terbaru untuk X50 2025 — bantuan penukaran lorong (LCA), amaran perlanggaran belakang (RCW), amaran lintasan trafik di belakang (RCTA) dan amaran bukaan pintu (DOW).

Dengan sistem ini juga kini X50 2025 boleh diparkir sendiri tanpa kawalan pemandu, menerusi ciri bantuan parkir automatik (APA) — boleh untuk parkir undur dan juga sisi, dengan sistem membenarkan pemandu untuk mengalih paparan dan sudut kotak ruang menerusi skrinnya mengikut keadaan dan persekitaran. Berkaitan ini, kamera 360-darjah definisi tinggi pandangan dari atas kini juga telah dipertingkatkan, disertakan juga dengan pandangan tekus 180-darjah untuk membantu pemandu melihat persekitaran dengan mudah.

Aplikasi Proton Link 2.0 juga ditawarkan untuk kemudahan pengguna. Ia akan menjadi hab bagi semua perkhidmatan berkaitan Proton yang bertujuan memperkayakan lagi pengalaman pemilikan pelanggan. Melaluinya, pengguna boleh meninjau dan mengawal perkara berkaitan kenderaan mereka, memanfaatkan perkhidmatan pemetaan dan menjejak lokasi, serta menyimpan semua rekod servis kenderaan.

Proton X50 facelift 2025 ditawarkan dalam varian Executive, Premium dan Flagship (tiada lagi varian Standard), dan didatangkan dalam lima pilihan warna — Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver dan warna baru Teal Bayou Blue seperti S70, menggantikan warna Ocean Blue.

Pecahan kelengkapan mengikut spesifikasi setiap varian adalah seperti berikut:

    Proton X50 2025 dilancar di Malaysia — tiga varian, 1.5L empat-silinder 181 PS/290 Nm, dari RM86k

    Proton X50 1.5TD Executive 2025
    Kelengkapan standard:

    Mekanikal

  • Enjin 1.5 liter DOHC i-GT TD
  • 1,499 cc turbocas suntikan terus empat-silinder petrol
  • 181 PS pada 5,500 rpm, 290 Nm tork pada 2,000-3,500 rpm
  • Trasmisi klac berkembar basar tujuh-kelajuan
  • Mod pemanduan Eco, Comfort, Sport dan Adaptive
  • Pacuan roda depan
  • Suspensi MacPherson strut (depan), torsion beam (belakang)
  • Cakera brek berliang (depan), cakera solid (belakang)
  • 0-100 km/h dalam 7.6 saat
  • Luaran

  • Lampu utama LED auto
  • Lampu DRL LED
  • Lampu belakang LED berkelebaran penuh
  • Garis merah pada gril
  • Kemasan bampar perak
  • Empat muncung ekzos
  • Rim aloi 17-inci dengan tayar 215/60 R17
  • Dalaman

  • Sistem tanpa kunci dengan Remote Start
  • Kunci/buka kunci jarak jauh auto
  • Butang Push Start
  • Dalaman hitam dengan jahitan kelabu
  • Pelapik bumbung kelabu
  • Kawalan pendingin zon tunggal dengan corong belakang
  • Pengilap automatik
  • Kawalan melayar dengan penghad kelajuan
  • Kerusi manual
  • Balutan fabrik
  • Roda stereng multi-fungsi
  • Paparan instrumen digital 8.88-inci
  • Skrin sentuh infotainmen 14.6-inci
  • Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Kawalan suara “Hi Proton” dengan pilihan Bahasa Melayu
  • Dua slot USB di depan (USB-A dan USB-C)
  • Dua slot USB di belakang (USB-A dan USB-C)
  • Brek parkir elektronik dengan Auto Brake Hold
  • Pelekat RFID
  • Aplikasi Proton Link 2.0
  • Ruang but 330 liter
  • Keselamatan

  • Enam beg udara
  • ABS dengan EBD dan Brake Assist
  • Kawalan cengkaman dan kawalan kestabilan
  • Bantuan mula mendaki dan kawalan menuruni curam
  • Peninjau titik buta
  • Amaran lintasan trafik di belakang
  • Amaran perlanggaran belakang
  • Amaran buka pintu
  • Kamera undur
  • Sensor parkir depan dan belakang
  • Proton X50 2025 dilancar di Malaysia — tiga varian, 1.5L empat-silinder 181 PS/290 Nm, dari RM86k

    Proton X50 1.5TD Premium 2025
    Tambahan:

    Luaran

  • Landasan bumbung warna kelabu
  • Angkup brek merah
  • Rim 18-inci aloi dua-tona dengan tayar 215/55 R18
  • Dalaman

  • Kerusi pemandu larasan kuasa enam-arah
  • Balutan kulit buatan
  • Lampu ambient 72-warna dengan mode ritma
  • Enam pembesar suara
  • Pintu belakang kuasa elektrik
  • Keselamatan

  • AEB
  • Kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go
  • Bantuan ke tengah lorong
  • Bantuan mengekalkan lorong
  • Pengesan papan tanda trafik
  • Lampu tinggi auto
  • Sistem peninjau tekanan tayar
  • Kamera 360-darjah dengan paparan telus
  • Proton X50 2025 dilancar di Malaysia — tiga varian, 1.5L empat-silinder 181 PS/290 Nm, dari RM86k

    Proton X50 1.5TD Flagship 2025
    Tambahan:

    Luaran

  • Spoiler belakang dengan cetakan gentian karbon hiasan
  • Bumbung dan perumah cermin sisi hitam
  • Dalaman

  • Cermin pandang belakang anti-silau
  • Dalaman hitam dan merah dengan jahitan merah
  • Pelapik bumbung hitam
  • Visor matahari separa telus
  • Bumbung kaca panoramik dengan penghadang matahari kuasa elektrik
  • Pengecas tanpa wayar Qi (belah pemandu)
  • Keselamatan

  • Bantuan Parkir

Proton X50 1.5TD Executive 2025

Proton X50 1.5TD Premium 2025

Proton X50 1.5TD Flagship 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required