Seperti yang diketahui umum, esok, 26 Julai 2025, bakal berlangsungnya Perhimpunan #TurunAnwar di Dataran Merdeka. Para peserta dijangka akan berkumpul di lima lokasi terpilih iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks membeli-belah Sogo, sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad mengumumkan bahawa pihaknya dijangka akan melaksanakan lencongan trafik yang melibatkan 16 laluan di sekitar ibu kota, walau bagaimana pun ia bergantung kepada situasi dari semasa ke semasa.
“Beberapa lencongan kenderaan akan diaktifkan sekiranya keadaan memerlukan demi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Antara laluan yang dijangka terlibat dengan pelaksanaan lencongan adalah Jalan Maharajalela susur ke Jalan Syed Putra, Jalan Kinabalu /pusingan-U Public Bank, Bulatan Sultan Mohamad. Ia turut melibatkan Jalan Kinabalu susur ke Terowong Bukit Aman Jalan Kinabalu / susur ke Bulatan Dato’ Onn, atas Bulatan Dato’ Onn (kiri dan kanan) serta Bulatan Dato’ Onn (Dari arah Jalan Parlimen).
Selain itu, laluan lain yang terlibat termasuklah Jalan Sultan Salahuddin /Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kuching /Susur ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Kinabalu (dari arah Bulatan Segambut ke arah Bulatan Dato’ Onn), Jalan Kinabalu (dari arah Masjid Negara ke arah Bulatan Dato’ Onn), Jalan Lebuh Pasar Besar/Jalan Hang Kasturi, Jalan Hishamudin /Jalan Raja, Jalan Parlimen /Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman /Jalan Tun Perak dan Jalan Lebuh Ampang /Jalan Tun Perak.
Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menggunakan pengangkutan awam bagi meminimumkan kesesakan di pusat bandar.
“Orang ramai perlu mematuhi arahan-arahan anggota polis Trafik bertugas di lokasi. Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat dihargai demi menjaga ketenteraman dan keselamatan bersama. Jika mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat, boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai PolisTrafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Bagi yang menyertai perhimpunan terbabit, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menasihati anda agar sentiasa peka dengan peraturan ditetapkan, sekali gus memastikan ketenteraman dan keselamatan terpelihara. Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghargai kerjasama semua pihak dalam menjamin suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh himpunan berlangsung.
“PDRM komited menjadi pemudah cara bagi memastikan perhimpunan terbabit berjalan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama,”katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Anda juga disarankan menggunakan pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan rel yang disediakan oleh KTMB dan Prasarana termasuk LRT, MRT, Monorel dan Komuter. Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengarahkan semua stesen KTMB dan Prasarana beroperasi seperti biasa esok.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.