Selepas hampir satu tahun dilancarkan di China, Geely Galaxy E5 menerima kemas kini untuk model tahun 2026. Perubahan paling ketara bagi versi baru ini adalah penggunaan bateri lebih besar, berkapasiti 68.39 kWh jenis lithium iron phosphate (LFP) “short blade” Aegis, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 610 km mengikut kitaran CLTC. Namun dalam situasi pemanduan dunia sebenar, anggaran jarak yang lebih realistik adalah sekitar 500 kilometer.
Menariknya, varian bateri 60.22 kWh sebelum ini yang ditawarkan sebagai pilihan model jarak jauh kini menjadi pilihan asas. Bateri ini masih mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 530 kilometer (CLTC), atau sekitar 410 kilometer berdasarkan piawaian WLTP seperti kembarnya, Proton eMas 7. Sementara itu, bateri paling kecil sebelum ini iaitu 49.52 kWh yang mampu mencatat jarak 440 kilometer (CLTC) atau 345 kilometer (WLTP) telah dikeluarkan daripada pilihan.
Kedua-dua varian bateri menyokong pengecasan pantas DC dari 30% ke 80% dalam masa hanya 20 minit. Ini memberikan petunjuk bahawa kapasiti pengecasan bagi bateri 68.39 kWh telah dipertingkatkan berbanding kadar pengecasan 100 kW pada bateri 60.22 kWh. Menurut laman Autohome, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) juga telah dipertingkatkan dari 3.3 kW kepada 6.6 kW, memberikan lebih banyak fleksibiliti untuk penggunaan tenaga luaran.
Walaupun menerima kemas kini bateri, sistem penggerak Galaxy E5 tidak mengalami perubahan. Ia masih dipacu oleh satu motor elektrik di hadapan dengan kuasa maksimum 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm. Pecutan dari 0 ke 100 km/j dicapai dalam masa 6.9 saat, dan kelajuan maksimum mencecah 180 km/j.
Sebagai tambahan kepada peningkatan teknikal, dua warna baru turut diperkenalkan untuk model ini, iaitu Evening Forest Green dan Dawn Blue. Warna ini menyertai pilihan sedia ada seperti Dawn White, Midnight Black, Evening Cherry Pink, Sky Green, Morning Mist Gray dan Streamer Silver.
Menariknya, kemas kini bateri ini tidak melibatkan sebarang peningkatan harga. Galaxy E5 masih ditawarkan pada harga antara 109,800 yuan (sekitar RM64,600) hingga 145,800 yuan (sekitar RM85,800). Persoalan yang timbul sekarang adakah Proton eMas 7 juga bakal menerima peningkatan bateri ini. Kemungkinannya adalah besar, terutama sekali dengan perancangan untuk memulakan pemasangan tempatan (CKD) SUV elektrik ini di Tanjung Malim menjelang hujung tahun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.