Mungkin ada di antara anda yang merancang untuk berjalan-jalan di sekitar ibu kota KL esok, atau pun yang ingin menyertai perhimpunan #TurunAnwar yang dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, pengangkutan paling afdal untuk digunakan ialah perkhidmatan awam.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, beliau telah mengarahkan semua pengangkutan awam termasuk stesen-stesen keretapi KTMB and Prasarana untuk terus beroperasi seperti biasa esok, 26 Julai 2025.
“Kerajaan Madani mempertahankan hak kebebasan berhimpun, termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan Kerajaan. Kita tidak boleh kembali kepada zaman yang menindas demokrasi sehingga Parlimen pun ditutup. Yang lebih penting, pengangkutan awam kita harus terus berfungsi agar majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan pembangkang.
“Bagi mereka yang akan datang ke ibu kota, jangan lupa Pas MY50 kini boleh diperbaharui secara atas talian melalui aplikasi Touch N’ Go. Setiap pas bernilai RM150, pengguna hanya bayar RM50, kerajaan subsidikan RM100. Bagi yang datang ke ibu kota buat pertama kali, boleh menikmati perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan RapidBas tanpa had untuk sehari menggunakan MyCity Pass yang harganya hanya RM6. Pass ini akan kita digitalkan juga pada hujung tahun,” katanya seperti yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya.
Beliau turut menambah, para peserta perhimpunan esok digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam supaya kesesakan lalu lintas di ibu kota dapat diminimakan.
Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan bahawa KTMB bakal menutup Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 5 petang esok dan perkhidmatan tren Komuter tidak akan berhenti di kedua-dua stesen berkenaan. Walau bagaimana pun, KTMB kemudiannya mengesahkan perkhidmatan tren kendaliannya termasuk Komuter dan ETS akan beroperasi seperti biasa seperti yang disarankan oleh Loke.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.