VinFast VF7 2025 dilancar di Indonesia – SUV EV segmen-C; 354 PS, jarak gerak 417 km; dari RM129k

VinFast VF7 2025 dilancar di Indonesia – SUV EV segmen-C; 354 PS, jarak gerak 417 km; dari RM129k

VinFast VF7 telah pun dilancarkan menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung. SUV elektrik yang diposisikan di bawah segmen-C ini pertama kali diperkenalkan di peringkat globat di Consumer Electronics Show (CES) 2022. Dengan penawaran dua varian untuk pasaran Indonesia, VF7 menyertai barisan model VinFast yang telah dilancarkan sebelum ini iaitu VF6, VF5, VF3 dan VF e34.

Barisan VF7 bermula dengan varian Eco yang berharga 499 juta rupiah (sekitar RM129k), diikuti dengan Plus dengan harga 599 juta rupiah (RM155k). Sebagai sebahagian daripada promo pembelian awal, kedua-duanya ditawarkan dengan diskaun sehingga 31 juta (RM8k), yang diberikan untuk 200 pelanggan pertama saja dengan penghantarannya bermula 1 September ini.

Dari segi spesifikasi, varian Eco dilengkapi dengan motor elektrik hadapan yang menjana 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan 250 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 10 saat. Kuasa motor ini dibekalkan oleh bateri berkapasiti 59.6 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 430 km mengikut piawaian NEDC.

Sementara itu, varian Plus hadir dengan tetapan pacuan semua roda dwi-motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 354 PS (349 hp atau 260 kW) dan 500 Nm, yang secara ketara mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada hanya 5.8 saat. Varian tertinggi ini dilengkapi dengan bateri 70.8 kWh, iaitu sedikit lebih rendah berbanding kapasiti tenaga bagi varian VF7 AWD Plus yang dijual di Vietnam (75.6 kWh di sana). Oleh itu, jarak pemanduan mengikut standard NEDC sekitar 471 km berbanding 496 km.

Walau bagaimana pun spesifikasi lengkap masih belum dipaparkan di laman web rasmi VinFast Indonesia, namun berdasarkan laporan media tempatan, VF7 ditawarkan dengan tujuh beg udara, skrin sentuh infotainmen bersaiz 12.9-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, kawalan suhu dua zon, paparan head-up serta pintu but belakang berkuasa.

Varian Plus pula hadir dengan pakej ADAS yang menyeluruh, termasuk kawalan kelajuan adaptif, pemantauan keletihan pemandu, lampu tinggi automatik, pemantauan titik buta, kamera 360-darjah, amaran lintasan trafik belakang, bantuan parkir belakang, bantuan pertukaran lorong, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong serta kawalan pemusatan lorong.

VF7 berukuran 4,545 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,636 mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 2,840 mm serta kelegaan tanah 190 mm (satu angka penting untuk pasaran Indonesia). Lima warna luaran dan dua tema dalaman ditawarkan, dengan varian Plus menampilkan palet dalaman dwi tona.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required