Bersempena dengan acara Art of Speed di MAEPS, Serdang hujung minggu lalu, Harley-Davidson (H-D) melancarkan barisan cruiser tahun 2025 untuk pasaran Malaysia. Model yang ditawarkan terdiri daripada Street Bob (RM119,900), Heritage Classic (RM143,900), Breakout (RM146,900), Fat Boy (RM149,900), Low Rider S (RM134,900) dan Low Rider ST (RM150,900).
Asas untuk kesemuanya adalah sama iaitu casis Softail, dengan monoshock yang tersembunyi serta enjin Milwaukee Eight 117 berkapasiti 1,923 cc dengan padanan transmisi enam kelajuan serta sistem pacuan tali sawat.
Jumlah kuasa bagaimanapun adalah berbeza, dengan Street Bob dan Heritage Classic menghasilkan 91 hp/156 Nm, Breakout dan Fat Boy 103 hp/168 Nm, dan Low Rider S serta Low Rider ST 114 hp/173 Nm. Tiga mod tunggangan disediakan iaitu Road, Rain dan Sport.
Untuk model tahun 2025 ini, selain penampilan, bahagian enjin juga menerima peningkatan, antaranya salur kemasukan udara dan ekzos, dengan penapis udara serta laluan udara yang disesuaikan dengan pakej kuasa masing-masing. Ekzos kini lebih ringan dan menggunakan sistem 2-1 (kecuali pada Fat Boy dan Breakout).
Sistem paparan informasi motosikal menggunakan gabungan analog dan digital, sementara kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk Cornering ABS, kawalan cengkaman, Drag Torque Slip Control, pemerhati tekanan angin tayar, semua lampu jenis LED dan soket pengecas USB-C. Model paling ringan adalah Street Bob, mencatat 293 kg, manakala paling berat adalah Heritage Classic dengan catatan 326 kg.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.