Jetour Auto Malaysia telah memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk dua model SUV keluarannya iaitu Dashing dan VT9 di fasiliti pemasangan Berjaya Assembly Sdn. Bhd. (B-Assembly) di Tampoi, Johor Bahru. Pencapaian ini menandakan langkah penting dalam strategi pengeluaran tempatan Jetour, dalam masa yang sama mengukuhkan komitmen jangka panjang jenama ini untuk pasaran tempatan.
Dengan keluasan 640,000 kaki persegi, fasiliti sedia ada iaitu B-Assembly memiliki seramai lebih 100 orang tenaga kerja yang berdedikasi menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pembuatan dan pengedaran bagi rantau ASEAN. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi negara dalam sektor automotif dengan meningkatkan pemerolehan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran,serta memperkukuhkan integrasi dalam rantaian bekalan tempatan.
“Pencapaian penting ini mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik untuk Jetour. Pemasangan tempatan bagi model Dashing dan VT9 bukan sahaja hanya satu kemajuan dari segi pengeluaran, malah merupakan pelaburan besar dalam bakat, inovasi, dan potensi mobiliti di rantau ini pada masa akan datang,” kata Wen Qiangkang, Naib Presiden Jetour International.
Fu Yong selaku Ketua Pegawai Eksekutif Jetour Malaysia pula berkata, “Dengan pelancaran pembuatan tempatan, kami berbangga dapat menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang dipasang di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, inovasi, dan kepuasan pelanggan. Kerjasama dengan B-Assembly ini turut membina asas kukuh bagi strategi peluasan JETOUR ke seluruh rantau ASEAN.”
B-Assembly, anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Berhad, berperanan sebagai rakan pemasangan tempatan Jetour. Fasiliti yang sedia ada ini dilengkapi dengan sistem berkeupayaan Industri 4.0, mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap piawaian pembuatan bertaraf tinggi, kecekapan operasi, serta penyelesaian mobiliti yang mampan.
“Kami berbangga menjadi rakan pemasangan tempatan untuk Jetour di Malaysia. Kerjasama ini menunjukkan keyakinan bersama kami terhadap masa depan sektor automotif negara serta komitmen kami untuk menyumbang kepada pembangunan industri nasional,” kata Dato’ Tony Khor, Penasihat B-Assembly.
Setakat ini, lebih 1,000 unit telah diproduksi di fasiliti tersebut, dengan penghantaran Dashing pemasangan tempatan telah pun bermula sejak Jun lalu, diikuti oleh model VT9 tidak lama lagi.
Pada masa hadapan, Jetour kini dalam perancangan untuk melabur sekitar RM1.4 bilion di Malaysia bagi menyokong pelancaran lebih banyak model pemasangan tempatan, dan turut merancang pengeluaran eksport ke negara-negara jiran di rantau ASEAN. Di samping itu, Jetour turut bakal memperkenalkan beberapa lagi model baharu yang akan dipasang di Malaysia dan mempercepatkan usahanya untuk menembusi pasaran ASEAN dalam masa terdekat ini.
Jetour Dashing dilancarkan di Malaysia pada awal April lalu dan ditawarkan dengan dua varian iaitu Comfort dan Prime dengan harga masing-masing adalah RM109,800 dan RM116,800. Ia diberikan enjin 1.5 liter turbo empat-silinder petrol yang mampu menghasilkan kuasa 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi klac berkembar enam kelajuan untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan dan mempunyai tiga mod pemanduan.
Manakala Jetour VT9 pula dilancarkan Mei tahun ini dengan dua varian iaitu 1.5 TCI Comfort berharga RM119,350 dan RM124,350 untuk 1.5 TCI Prime. Ia diberikan enjin yang sama dengan Chery Omoda 5 iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 156 PS pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm pada 1,750 hingga 4,000 rpm dan digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar enam-kelajuan. Kedua-duanya diberikan dua mod pemanduan iaitu Eco dan Sport.
GALERI: Jetour VT9 di Malaysia
GALERI: Jetour Dashing Prime di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.