Kementerian Pengangkutan (MoT) telah melancarkan perkhidmatan pengangkutan awam BAS.MY Kota Setar di Kedah dan BAS.MY Kangar di Perlis. Ini merupakan insiatif di bawah Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST). Terdahulu, program ini telah beroperasi di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuching, Melaka, Seremban, Ipoh dan bakal dilancarkan di Kota Kinabalu dan Kuantan tidak lama lagi.
Menurut Menteri MoT Anthony Loke, di bawah kementeriannya, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk menyediakan pengangkutan awam yang bermutu pada harga yang berpatutan. Ia juga mendapat kerjasama yang baik dari kerajaan negeri dalam usaha untuk memperkasakan pengangkutan awam di negeri masing-masing.
“Kementerian Pengangkutan melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sentiasa berusaha merangka satu sistem bas berhenti-henti yang lebih efisien dan dinamik agar dapat meningkatkan mobiliti, produktiviti dan peningkatan taraf hidup rakyat Malaysia yang terkesan dengan cabaran ekonomi dunia pada masa ini.
“Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula perlu memainkan peranan penting bersama dalam merangka pembangunan prasarana pengangkutan awam bagi menambah baik pengalaman pengguna (atau user experience) pengangkutan awam dan perhentian bas yang selesa, kemudahan papan maklumat yang jelas serta turut menyediakan laluan pejalan kaki yang selamat kepada pengguna. Ini antara elemen penting dalam melengkapkan ekosistem pengangkutan awam yang baik lagi tersusun serta menyeluruh,” kata Loke dalam majlis pelancaran BAS.MY Kota Setar.
Bagi BAS.MY di Kota Setar yang dikendalikan oleh Gopi Travel Tours Sdn Bhd, menyediakan 48 buah bas baharu baharu yang terdiri dari enam buah bas midi dan 42 bas mini low floor. Dengan melibatkan 13 laluan di bawah lima kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Perbandaran Kubang Pasu, Majlis Daerah Padang Terap, Majlis Daerah Pendang, dan Majlis Perbandaran Sungai Petani.
Untuk BAS.MY di Kangar pula, ia dikendalikan oleh MARA Liner Sdn Bhd, yang menyediakan 24 buah bas baharu yang terdiri daripada 20 bas mini dan empat bas mini low floor, dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin, sistem GPS, tiket elektronik serta kamera litar tertutup (CCTV) demi keselamatan penumpang. Ia menawarkan sembilan laluan utama di seluruh Perlis termasuk laluan menghubungkan Kangar dan Alor Setar. Selain itu, di Perlis, ia juga menyediakan BAS.MY Medik untuk penumpang mobiliti terhad.
Loke turut berkata, perkhidmatan BAS.MY ini akan dipantau melalui GPS dari segi Ketersediaan Perkhidmatan dan Ketepatan Masa. “Sekiranya pengendali gagal menepati KPI yang ditetapkan bagi dua aspek ini, penalti akan dikenakan. Pemantauan yang berterusan dapat memastikan perkhidmatan BAS.MY yang cekap dan memberi keyakinan kepada rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam,”jelasnya.
Kesemua perkhidmatan BAS.MY menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai yang membolehkan pengguna membuat bayaran menggunakan kad debit/kredit atau e-wallet melalui imbasan kod QR. Selain itu, bagi meringankan beban pengguna tetap, warga Malaysia boleh melanggan Kad 30 Hari BAS.MY pada harga RM50 bagi perjalanan tanpa had. Manakala untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas, pelajar sekolah dan siswa pula layak menikmati tambang percuma melalui Kad Konsesi BAS.MY.
Dalam masa yang sama, MoT juga melancarkan laman web rasmi BAS.MY bagi membolehkan pengguna untuk menyemak laluan dan jadual perjalanan serta lokasi utama selain maklumat produk BAS.MY seperti Kad 30 Hari dan Kad Konsesi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.