Susulan penjelasan daripada InDrive semalam yang mana syarikat itu telah menerima pengesahan daripada Kemeterian Pengangkutan (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasi di Malaysia, sebuah lagi penyedia perhidmatan e-hailing, Maxim turut mengikut jejak yang sama.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, syarikat itu memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah memberi kebenaran untuk mereka meneruskan operasi di negara ini, namun tertakluk kepada beberapa terma dan syarat. Maxim mengalu-alukan keputusan itu, dengan jaminan bahawa pelanggan boleh mengakses perkhidmatan itu dengan selamat, sementara rakan pemandunya pula berpeluang untuk terus meraih pendapatan yang stabil.
“Kami bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk menyambung operasi di Malaysia di bawah pengawasan APAD, dan kami akan pastikan semua perkhidmatan yang disediakan adalah mematuhi keperluan seperti digariskan oleh APAD. Maxim terus komited memberikan perkhidmatan yang selamat dan lancar yang mematuhi semua peraturan yang ditetapkan,” jelas Pengarah Maxim Malaysia, Mohd Hazwan Musley.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya, syarikat itu akan memastikan semua rakan pemandu yang aktif ketika ini mempunyai permit kenderaan e-hailing (EVP) yang sah dan dilindungi oleh insurans. Maxim juga bersedia untuk bekerjasama dengan lebih rapat bersama APAD dan pemegang taruh yang lain bagi memastikan suasana perkhidmatan pengangkutan yang selamat untuk semua warga Malaysia.
Pengemuman yang dibuat oleh kedua-dua syarikat tersebut adalah susulan daripada laporan Mei lalu bahawa APAD telah menggantung permit operasi InDrive dan Maxim, dengan arahan untuk memberhentikan operasi berkuatkuasa pada 24 Julai lalu. Tindakan itu diambil selepas mendapati kedua-dua syarikat terbabit gagal memenuhi beberapa syarat terutamanya berkaitan keperluan EVP.
Kedua-dua syarikat itu membuat rayuan ke atas keputusan tersebut dan diminta untuk mengambil langkah penambahbaikan sebelum 24 Julai bagi membolehkan mereka meneruskan operasi di negara ini. APAD juga sebelum ini telah mengesahkan bahawa kedua-dua syarikat itu telah memperbaiki sistem pendaftarannya bagi memastikan semua pemandu memiliki EVP yang sah untuk membolehkan mereka beroperasi dengan sah, dan menyediakan data mereka untuk membantu silang-semak EVP berkenaan.
Pada 24 Julai lalu, APAD juga telah mengeluarkan kenyataan membenarkan dua syarikat e-hailing ini untuk meneruskan operasi, dengan tempoh pengawasan selama tiga bulan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.