PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

Sejujurnya penulis bukan ‘pencinta’ kenderaan elektrik (EV), belum punya hajat mahu pun impian untuk memilikinya. Ya, mungkin penulis boleh dianggap sebagai ketinggalan zaman dan ‘kurang menghargai teknologi terkini’.

Namun selepas memandu Leapmotor C10 buat pertama kalinya pada akhir Februari lalu ketika menyertai sambutan Hari Wanita Sedunia yang dianjurkan khas oleh Stellantis Malaysia untuk rakan media wanita, rasanya koordinat hati mengenai EV sedikit berubah. Tiba-tiba macam ‘tersuka tanpa sengaja’ pula dengan C10, walau pun hanya memandu dalam jarak yang dekat iaitu dari Petaling Jaya ke Putrajaya. Tapi hajat untuk memiliki EV masih belum muncul tiba.

Ini bukanlah EV pertama yang penulis pandu uji… adalah beberapa model sebelum ini yang pernah dilenjan. Tapi C10 ini bagai mampu ‘mencuri hati’ pula. Alasan utama..keselesaan tika berada di dalam kabinnya. Ya, cukup selesa. Tetapi, penulis bukanlah nak memuji 100%, C10 tetap ada kekurangannya. Tiada penciptaan sesuatu teknologi atau buatan yang serba sempurna kan… Namun keselesaan yang sungguh jitu ini membuatkan penulis terasa ingin ‘mengenali’ SUV EV ini secara lebih intim. Maka, ini sesi pandu uji buat kali kedua bersama C10.

PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

Untuk pasaran Malaysia, C10 dilengkapi dengan tetapan motor elektrik tunggal yang menjana sebanyak 218 PS (160 kW) dan 320 Nm. Ini membolehkan SUV berkenaan memecut 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat untuk mencapai laju maksimum 170 km/j.

Ia diberikan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 69.9 kWh dan ia boleh mencapai jarak gerak hingga 420 km mengikut standard WLTP. Bagi pengecasan, tahap SoC 30%-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit dengan pengecasan pantas DC dengan kadar maksimum 84 kW. Bagi pengecasan biasa AC, kadar maksimum pengecasan adalah 11 kW dan memerlukan masa empat jam untuk mencapai SoC yang sama. Ketika memandu ujinya, purata penggunaan tenaganya sekitar 20.1 kWh/100 km, dalam tempoh empat hari ‘melenjannya’ dengan memandu di kawasan bandar dan sedikit di lebuhraya, anggaran jarak lebih kurang 308 km, namun catatan baki jaraknya ada lagi lebih kurang 121 km. Boleh dikatakan agak memuaskan.

Ia juga memiliki fungsi V2L yang berkapasiti 3.3 kW, yang boleh digunakan untuk mengecas atau menyalurkan kuasa elektrik kepada peranti atau perkakasan ringkas seperti TV, lampu, komputer, dan telefon bimbit. Jadi, kalau membawa C10 untuk berkhemah, anda tak perlu risau untuk mendapatkan bekalan elektrik jika diperlukan.

Bercerita soal prestasi EV ini, ia dirasakan cukup memadai untuk kegunaan harian. Memandu ‘chill-chill’ dalam kelajuan yang sederhana. Hendak kata enjinnya padu.. tidak. Nak dikatakan ‘sendu’ pun tidak. Cukup sederhana dan bersesuaian dengan karakternya sebagai urban EV. Jika anda inginkan EV yang padu dari sudut prestasi dan pengendalian, C10 bukanlah piihannya.

PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

Untuk merasai dan menjiwai pemanduan yang menyenangkan, C10 memberikan resapan ‘rasa’ itu perlahan-lahan. Terasa ia sedikit agak lambat pada awal pergerakan kenderaan. Namun apabila mencecah kelajuan yang diingini, pacuannya mampu menghamburkan kepuasan. Ditambah pula dengan material pada tempat duduknya… terasa memeluk tubuh dengan penuh rasa kasih sayang. Itu faktor utama yang penulis suka dengan C10 ini.

Selain itu, kekurangan lain yang sedikit ‘merencatkan’ keseronokan mengendalikan C10 ini ialah kawalan sterengnya yang dirasakan agak kurang padu. Memang ia sesuai untuk pemanduan dalam bandar yang chill sahaja, dan memang tak sesuai untuk pemanduan yang lebih agresif. Tidak seperti pesaingnya, BYD Atto 3 yang boleh disifatkan lebih syok dikendalikan. Dan tak boleh pulak nak bandingkan dengan satu lagi pesaingnya untuk pasaran Malaysia iaitu Proton eMas 7 Kerana penulis masih belum berkesempatan untuk memandunya.

Bagi sistem suspensinya pula, terasa sedikit keras terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang kurang rata. Biarpun talaan suspensinya dikatakan unik untuk pasaran eksport C10 yang dilakukan oleh pasukan talaan casis Stellantis yang berpusat di Balocco, Itali.

SUV elektrik pertama Leapmotor (nama Cinanya ‘Ling Pao’, dengan adanya logo ‘LP’ digunakan) ini mempunyai ukuran dimensi 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda 2,825 mm. Untuk ruang kargo, ia berkapasiti 435 liter dengan tempat duduk berada dalam keadaan normal. Jika tempat duduknya dengan nisbah 60:40 direbahkan, kapasitinya akan menjadi 1,410 liter. Ruang di bahagian hadapan kereta ini turut memberikan 32 liter kapasiti tambahan. Pada Jun lalu, Stellantis Malaysia mengumumkan terdapat naiktaraf untuk C10 versi 2025, ini termasuklah penambahan penutup ruang barangan belakang (tonneau cover).

PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

Kalau anda bawak C10 untuk healing di tepi sungai atau pantai, dah tak perlu nak pasang khemah, sebab anda boleh tidur di dalam kabinnya yang cukup selesa. Tempat duduknya boleh dibaringkan secara rata, dan kusyennya memang cukup empuk. Penyandar belakang juga boleh direbahkan dan boleh menyediakan ruang seluas 1.8 meter x 1.2 meter.

C10 ini juga dilengkapi dengan Nap Mode, di mana jika anda memilih mod ini, enjin masih dihidupkan secara minimal dan pendingin hawa juga masih berfungsi. Anda tak perlu risau dengan keracunan karbon monoksida dalam kereta seperti mana yang sering berlaku dalam kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman. Dengan Nap Mode ini, anda juga boleh memasang audio yang disajikan muzik alam yang mendamaikan mengikut pilihan anda, dan anda juga boleh melaraskan ketatapan waktu untuk anda bangun dari tidur. Katanya ada alarm clock!

Berkenaan dengan rekaan yang dipertaruhkan, gaya minimalis menjadi pilihan namun pada pandangan mata secara peribadi, penulis menggemarinya biarpun sekadar ringkas. Imej luarannya masih kelihatan elegan dan bergaya serta penuh karekteristik. Tidak hairanlah ia menerima beberapa pengiktirafan termasuk French Design Award 2024 dan US MUSE Design Award 2024.

Bahagian hadapannya diberikan Active Grille Shutter dengan lampu hadapan tirus yang menampak imej sofistikated. Unit lampu utamanya adalah LED automatik dengan DRL, dengan pendekatan rekaan tirus yang sama diterapkan untuk rekaan lampu belakang. Ia juga ditampilkan dengan pemegang pintu tersembunyi, spoiler bumbung, dan rim 20-inci yang dibaluti tayar Dunlop e.Sport Maxx bersaiz 245/45. Melewati bahagian belakangnya, ia juga diberikan jaluran pencahayaan yang diapit lampu LED pada kedua-dua belah sisi, dengan butang kecil untuk membuka pintu tailgate secara automatik.

Bercakap mengenai kunci NFC yang diberikan sebagai pengoperasian C10, ia memang kelihatan canggih dan ‘in trend’, cuma secara peribadinya, saya kurang senang dengan penggunaannya. Anda perlu menyentuh kunci NFC tersebut pada titik akses yang berada di bahagian cermin sisi. Dan apabila anda menarik pemegang pintu tersembunyi itu dan memasuki ruang kabin, enjin akan dihidupkan secara automatik tanpa perlu menekan butang penghidup enjin.

Dan mengikut pengalaman saya tika itu, kunci NFC tersebut perlu diletakkan di atas alas pengecas Qi tanpa wayar untuk memastikan ia dikesan oleh sistem komputer pengoperasian enjin. Jika ia dialihkan dan anda memasukkan gear ‘P’, dan kemudian mahu menukar ke gear ‘D’ atau ‘R’, sistem pengoperasiannya tidak dapat mengesannya dan enjin seakan tidak berfungsi (tetapi pendingin hawa masih berfungsi). Dan tertera arahan pada skrin paparan di hadapan pemandu untuk memastikan kunci NFC tersebut perlu diletakkan kembali pada alas pengecas Qi tanpa wayar untuk mengoperasikan kenderaan.

Di dalammya, rekaan kemas dan ringkas tanpa ada ciri futuristik yang sarat, disertai kehadiran stereng dua-jejari dan dua paparan digital, satu untuk panel instrumen bersaiz 10.25-inci dengan resolusi 1920 x 720 dan sebuah lagi paparan di tengah bersaiz 14.6-inci dengan resolusi 2,560 x 1,440. Kini, kabinnya menampilkan kemasan balutan hitam, menggantikan warna Midnight Aurora bagi varian dengan warna luaran Pearly White, Canopy Grey dan Tundra Grey. Bagi model berwarna Glazed Green pula, upholsteri kini hadir dalam warna Camel Brown menggantikan Criollo Brown.

PANDU UJI: Leapmotor C10 serlah keselesaan ‘luar biasa’; prestasi dan pengendalian biasa-biasa saja

Perisian operasinya pula memanfaatkan cip Qualcomm Snapdragon 8155 yang didakwa memberikan prestasi yang lancar yang boleh sentiasa di dipertingkat melalui kemaskini over-the-air (OTA). Sistem infotainmen pula menampilkan sistem audio 840 watt dengan 12-pembesar suara yang dibangunkan sendiri, begitu juga dengan ciri tunjuk arah, WiFi dan Bluetooth.

Bagaimanapun, tiada sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto, macam sedikit ketinggalan zaman pula. Oh! sistem bunyi C10 memang best, anda boleh berkaraoke dengan penumpang. Cuma perlu terus fokus pada pemanduan, jangan sampai tersesat jalan atau pun membahayakan keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Ciri kelengkapan lain yang diberikan termasuklah stereng dua-jejari, sistem penapis udara RM2.5, tuil gear di belakang stereng, kawalan suhu dua-zon, empat slot USB (satu Type A, satu Type C; masing-masing di depan dan belakang) dan dua paparan digital, satu untuk panel instrumen bersaiz 10.25-inci dan sebuah lagi paparan di tengah bersaiz 14.6-inci.

Selain itu, ia diberikan kawalan pendingin dua zon, bumbung kaca panoramik tetap 42-inci dengan pelindung matahari elektrik serta tempat duduk hadapan larasan kuasa dan berliang (larasan enam-arah untuk pemandu, empat-arah untuk penumpang hadapan), pengecas telefon tanpa wayar, lampu ambient serta pintu ruang barangan berkuasa.

Mengapa penulis memuji keselesaan ketika berada di dalam perut C10 ini? Ia kerana C10 dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit yang cukup selesa, ia buatan Oeko-Tex Standard 100 yang kalis cecair, bebas toksik, mudah dibersihkan dan mesra bayi. Boleh dikatakan material yang digunakan memang ‘win’ dan memberikan keselesaan yang terbaik.

Dari sudut keselamatan dan kelengkapan bantuan pemanduan, C10 dilengkapi dengan tujuh-beg udara, sensor parkir belakang dan kamera 360-darjah. Ia juga menampulkan ciri ADAS Tahap 2 dengan 12 sensor berketapatan tinggi dan menawarkan 17 fungsi berkaitan, termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan kelajuan pintar, bantuan kesesakan lalu lintas, amaran perlanggaran depan, AEB, amaran penukaran lorong dan bantuan mengekalkan lorong. Ia juga diberikan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta kit pam angin automatik untuk tayar.

Ada empat pilihan warna luaran ditawarkan iaitu Midnight Aurora, Pearly White, Tundra Grey dan Glazed Green (warna utama). Kini, C10 ditawarkan pada harga atas jalan RM125,000 tidak termasuk insurans, berbanding RM159,000 untuk harganya sebelum bulan Jun lalu. Ia didatangkan dengan jaminan enam-tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu) serta jaminan bateri selama lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana dahulu). Tempoh selang servis bagi SUV ini adalah sebanyak satu tahun sekali, atau 20,000 km (yang mana dahulu).

Sebagai perbandingan, Atto 3 berharga RM 123,800 atas jalan tanpa insurans, manakala eMas 7 pula berharga RM109,800 untuk varian asas Prime dan RM123,800 bagi model spesifikasi penuh Premium. Kedua-duanya murah sedikit berbanding Leapmotor C10. Jadi, pilihan mana yang terbaik dan sesuai untuk anda?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required