Proton hari ini mengumumkan bahawa fungsi arahan suara (VR) dalam X50 facelift 2025 yang baru dilancarkan kini sudahpun boleh berfungsi dengan menggunakan Bahasa Melayu (BM). Proton mendakwa bahawa ini merupakan fungsi arahan suara pertama di dunia yang boleh beroperasi dengan BM, dan ia tiba selepas tujuh-tahun sistem “Hi Proton” digunakan dalam pasaran.
Fungsi arahan suara BM ini dibangunkan oleh Proton bersama syarikat usahasamanya iaitu ACO Tech bermula Oktober 2024 hingga Mei 2025, melibatkan pengumpulan 4,000 variasi arahan dalam BM, dan dalam masa yang sama 4,000 variasi arahan dalam Bahasa Inggeris juga turut dikumpulkan.
Bagi memastikan ketepatan pelbagai frasa yang digunakan dalam sistem arahan suara tersebut, lebih 200 sampel Bahasa Malaysia standard, dibahagikan antara penutur lelaki dan wanita, juga telah direkodkan dengan teliti termasuk variasi bahasa semula jadi seperti “buka tingkap” dan “bukakan tingkap.” Selepas lengkap semua kerja, pasukan pembangunan mengambil keputusan untuk menamakan sistem arahan suara berbahasa Melayu ini sebagai ‘Aisyah’.
Proton mula menggunakan sistem arahan suara “Hi Proton” ini sejak 2018, menerusi sistem infotainmen berasaskan Geely Smart Ecosystem (GKUI) yang diperkenalkan pada Proton X70. Kemudian pada 2022, sistem infotainmen pada Proton X50 menerima OS dari Atlas yang menampilkan servis-servis terhubung serta sistem arahan suara yang dioptimumkan untuk Bahasa Inggeris di Malaysia.
Proton turut menyatakan berdasarkan data yang dikutip sehingga Jun 2025, perkataan “Hello” merupakan perkataan yang paling kerap diucapkan dengan 43,896 arahan direkodkan. Ini diikuti oleh pertanyaan yang bermula dengan perkataan “What” – seperti “What is the weather like today” – dan “Call” dengan masing-masing 40,779 dan 24,647 arahan. Jumlah transaksi pada bulan Jun mencapai 2.8 juta dengan 228,046 pengguna aktif.
Penambahbaikkan untuk sistem arahan suara ini akan sentiasa dibuat dan pengguna akan menerima versi lebih baik menerusi kemas kini Over-The-Air (OTA). Sistem awan VR ini akan mengemas kini dan mengembangkan perbendaharaan katanya secara automatik untuk memahami lebih banyak arahan dengan bijak seperti “Saya nak lihat langit” untuk membuka bumbung suria, sekaligus menawarkan pengalaman yang sentiasa berkembang dan lebih pintar kepada pemandu,” kata Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan.
“Walaupun pada masa ini dioptimumkan untuk suara wanita, pasukan Proton sedang membangunkan pengecaman suara lelaki dan meneroka integrasi bahasa dan dialek lain untuk iterasi akan datang,” tambah kenyataan itu lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.