Menerusi pengumuman Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan rancangan untuk menaiktaraf beberapa lebuhraya dan jalan raya di seluruh negara, sebagai sebahagian daripada rancangan dan bajet kerajaan untuk lima tahun akan datang sehingga tahun 2030.
Kerja-kerja naiktaraf akan dilaksanakan di beberapa lebuh raya, termasuk Lebuhraya PLUS bagi laluan Senai Utara – Machap di Johor, dan laluan Juru – Sungai Dua di Pulau Pinang, serta pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road) di Pahang dan Kelantan. Selain itu, kerja-kerja naiktaraf ini juga melibatkan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Lebuhraya Trans Borneo Sarawak.
Jalan di kawasan luar bandar juga akan diberi perhatian, dengan kerja-kerja menaiktaraf dan pembinaan sepanjang 2,800 km jalan luar bandar yang akan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-13. Ini termasuk laluan utama dari Nanga Serau ke Nanga Seranau di Kapit, Sarawak, laluan dari jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang di Bagan Datuk, Perak, serta di Pos Sinderut di Lipis, Pahang.
Sementara itu, RMK13 turut merangkumi inisiatif peralihan daripada jalan raya ke rel yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan rel bagi pengangkutan kargo daripada 6% kepada 13%, di samping mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan pengangkutan barangan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.