BMW M3 CS Touring kini wagon paling laju di Nürburgring Nordschleife – catat 7 minit 29.49 saat!

BMW M3 CS Touring kini wagon paling laju di Nürburgring Nordschleife – catat 7 minit 29.49 saat!

BMW membuat pengumuman bahawa ia kini memperbaharui rekod wagon paling laju di litar Nürburgring Nordschleife menerusi BMW M3 CS Touring, iaitu M3 versi wagon dengan prestasi lebih hardcore, kuasa lebih besar serta badan lebih ringan yang diperkenalkan Januari lalu.

Wagon berkenaan mencatatkan masa 7 minit 29.49 saat di litar sepanjang 20.832 km dan menampilkan lebih 70 selekoh berkenaan, memadam rekod sebelum ini yang dicatatkan oleh M3 Touring biasa pada 2022 dengan catatan masa 7 minit 35.060 saat.

Menurut BMW, rekod ini sebenarnya telah dicatatkan pada April lalu, dan ia bukan dibuat oleh pelumba profesional, tetapi hanya dipandu oleh jurutera pembangunannya iaitu Jörg Weidinger.

BMW M3 CS Touring ini masih dijana enjin S58 3.0 liter enam silinder turbo berkembar, tetapi ia kini menerima talaan 550 PS pada takat 6,250 rpm dan juga tork 650 Nm pada takat 2,750 hingga 5,950 rpm, berbanding 530 PS pada M3 Touring facelift diperkenalkan pada Mei tahun lalu.

BMW M3 CS Touring kini wagon paling laju di Nürburgring Nordschleife – catat 7 minit 29.49 saat!

Enjin tersebut turut dipadankan dengan sistem ekzos M baharu yang menampilkan flap yang dikawal oleh sistem elektronik, peredam bunyi belakang titanium dan juga sepasang tip ekzos berkembar dalam kemasan hitam matte. Kuasa dari enjin dialirkan menerusi transmisi lapan kelajuan automatik M Steptronic (dengan Drivelogic), kemudian diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda M xDrive.

Namun pemandu masih boleh menjadikan wagon ini seakan jentera pacuan belakang sebenar dengan membuat larasan agar semua tork hanya memacu roda belakang, manakala unit LSD Active M Differential juga diberikan standard pada gandar belakang. Gandingan unit rangkaian kuasa tersebut membolehkan M3 CS Touring ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 300 km/j.

Dengan kuasa dan kelajuan lebih tinggi, casis M3 Touring CS ini juga menerima sentuhan unik. Pertama sekali cagak-cagak enjin pada model ini telah direka semula, diserasikan dengan spring suspensi yang lebih keras bagi menghasilkan hubungan yang sangat tegar antara unit rangkaian kuasa dan struktur badan wagon ini.

Wagon liar ini juga menerima kelengkapan aero yang diperbuat dari bahan gentian karbon diperkuat plastik (CFRP) yang bukan sahaja berfungsi untuk memberikan aerodinamik lebih baik, malah lebih ringan dan kuat. Kit tersebut terdiri dari splitter hadapan, pengambil udara hadapan dan juga diffuser belakang. Malah bonet depan dan juga penutup cermin sisi juga diperbuat dari bahan CFRP.

Pengurangan berat juga dibuat pada kabin wagon ini dimana ia diberikan tempat duduk hadapan bucket M Carbon, serta komponen-komponen CFRP termasuk pedal penukar gear, perapi-perapi dalaman dan konsol tengah. Menurut BMW, M3 CS Touring ini adalah 15 kg lebih ringan berbanding M3 Competition Touring M xDrive.

“Sejak dari mula, memang sudah jelas bahawa BMW M3 CS Touring akan menetapkan standard baharu dalam dinamik. Dengan masa di bawah 7:30 minit, model ini dengan hebat mendemonstrasikan bahawa konsep kenderaan ini secara sempurna menggabungkan DNA perlumbaan dengan kebolehan kegunaan setiap hari,” kata CEO BMW M, Franciscus van Meel.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required