GWM Haval H6 HEV dapat warna kabin Phantom Black – waranti bateri dipertingkat ke 10-tahun, RM139,800

GWM Haval H6 HEV dapat warna kabin Phantom Black – waranti bateri dipertingkat ke 10-tahun, RM139,800

GWM Haval H6 HEV memasuki pasaran Malaysia pada Oktober tahun lalu. Ia hanya ditawarkan satu varian iaitu HEV Ultra dengan enjin hibrid petrol elektrik, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,800.

Terkini, Great Wall Motor (GWM) Malaysia memperkenalkan GWM Haval H6 HEV dengan versi warna kabin Phantom Black pula. Dikekalkan dengan harga yang sama, namun ia menerima waranti bateri HEV yang dipertingkatkan iaitu dari lapan-tahun, kini menjadi 10-tahun atau 1,000,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu. Manakala waranti kenderaan pula masih kekal iaitu tujuh-tahun atau 200,000 km, begitu juga dengan waranti khas untuk enjin dan sistem hibrid elektrik masing-masing 10-tahun atau 1,000,000 (yang mana sampai dahulu).

Seperti namanya, keseluruhan warna kabin kini telah diolah semula kepada warna hitam menawan, dengan upholsteri serta elemen pada panel pintu, papan pemuka dan konsol tengah kini diserlahkan dalam rona tersebut. Selaras dengan perubahan ini, jalur serlahan pada papan pemuka, stereng dan panel pintu kini menggunakan kemasan perak, berbanding kemasan rose gold pada varian dalaman dwi-tona. Warna gloss piano black yang memberikan kontras kekal tidak berubah dalam skema ini.

Rekaan dalaman Phantom Black ini tidak terikat kepada mana-mana warna luaran tertentu, jadi pembeli boleh memilihnya bersama mana-mana daripada lima pilihan warna luaran (Sun Black, Energy Green, Hamilton White, Ayers Silver dan Crayon Grey) yang ditawarkan untuk H6.

Ciri kelengkapan untuk kabin yang masih dikekalkan termasuklah dua paparan skrin yang merangkumi panel instrumen digital 10.25-inci dan skrin infotainmen 12.3-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Selain itu, ia turut dilengkapi tempat duduk ‘bos’ untuk penumpang hadapan dengan suis larasan pada bahagian bahu, pengecas tanpa wayar Qi, kamera 360-darjah, penapis udara ion negatif, pencahayaan ambien, paparan head-up, sistem pendingin hawa dua-zon dan corong udara belakang.

Lain-lain termasuk cermin pandang belakang auto-malap, lampu suasana kabin, sistem audio dengan lapan pembesar suara, tailgate automatik dengan sensor kaki, tempat duduk depan berkuasa dengan pengudaraan (enam arah pemandu, empat arah penumpang), serta “Boss Switch” untuk kawalan ruang kaki penumpang hadapan.

GWM Haval H6 HEV dapat warna kabin Phantom Black – waranti bateri dipertingkat ke 10-tahun, RM139,800

Reka bentuk luarannya menampilkan gril Star Matrix, lampu hadapan dan belakang dengan unit LED penuh, lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan dan belakang LED, rim aloi 19-inci kemasan hitam berkilat dibaluti tayar Hankook Ventus S1 Evo3 SUV 225/55, dan bumbung suria panoramik.

Bagi enjinnya, ia masih mengekalkan unit GW4B15D 1.5 liter turbo empat-silinder dengan hamburan kuasa 150 PS pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm, digandingkan bersama motor elektrik 177 PS (130 kw) dan 300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua-kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan tork 530 Nm. SUV ini boleh dipecut dalam 0–100 km/j dalam anggaran 7.7 saat. Penggunaan bahan apinya pula sekitar 5.2l/100 km dan bagi tangki penuh berkapasiti 61 liter, ia didakwa mampu memberikan jarak melebihi 1,000 km.

Untuk kelengkapan keselamatan pula, ia diberikan enam-beg udara, kamera padangan sekeliling 360-darjah dengan ciri transparent chassis, sistem bantuan parkir, dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif kelajuan penuh, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang serta bantuan tukar lorong.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required