Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan sebanyak 1,489 saman terhadap kenderaan Singapura yang dikesan tidak memasang dan mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) sejak 1 Julai 2025 hingga Sabtu lalu, laporan Bernama.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, sepanjang tempoh itu, jumlah saman yang berjaya dikutip bernilai RM445,800, manakala 14,379 kenderaan Singapura diperiksa di luar kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) serta sekitar Johor Bahru.
“Malam ini sahaja (malam tadi), sebanyak 15 saman kita telah keluarkan terhadap kenderaan Singapura yang masuk ke Malaysia tanpa memasang dan mengaktifkan Tag RFID VEP. Setakat ini, dalam 1,489 pemilik atau pemandu kenderaan yang kita saman, rata-rata memberi alasan hampir sama iaitu tidak tahu bahawa kerajaan Malaysia sudah menjalankan penguatkuasaan, sebaliknya ingat kita masih di dalam tindakan advokasi.
“Kita tidak berkompromi dan tidak akan beri amaran lagi, sebaliknya terus mengeluarkan saman serta-merta, malah mereka yang disaman juga perlu menjelaskan saman mereka serta-merta,” katanya pada sidang media dalam Operasi Penguatkuasaan VEP di susur keluar BSI, Bukit Chagar malam tadi.
Muhammad Kifli berkata hampir 90% kenderaan persendirian bernombor pendaftaran Singapura telah memiliki VEP dengan memasang dan mengaktifkannya. Malah sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 277,930 tag RFID VEP sudah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura, melibatkan kenderaan persendirian individu dan syarikat.
“Kita ingin menegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan,” katanya.
Penguatkuasaan permit VEP menyaksikan pemandu kenderaan berdaftar Singapura yang memasuki negara tanpa permit berkenaan berisiko dikompaun RM300. Ia selaras Seksyen 66H(7) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) iaitu menjadi suatu kesalahan jika mana-mana orang yang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di Malaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.