Menurut laporan The Star, Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam mungkin tidak dapat memulakan operasinya pada 30 September seperti yang dirancang sebelum ini. Ini selepas Prasarana memaklumkan di Facebook minggu lalu bahawa mereka kini sedang menjalankan aktiviti ujian dan pentauliahan tren selama 24 jam di sepanjang jajaran dari stesen Bandar Utama hingga ke depoh di Johan Setia.
Buat masa ini, hantaran Facebook bertarikh 25 Julai (di bawah) tidak menyatakan berapa lama proses ini akan berlangsung. Namun begitu, netizen cepat menyedari bahawa hantaran tersebut telah disunting, di mana versi terdahulu menyatakan bahawa proses ini akan berterusan sehingga 31 Oktober 2025, iaitu sebulan selepas tarikh pembukaan yang dijadualkan pada 30 September.
Pada minggu lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan projek LRT3 ini telah siap sebanyak 99.21% setakat 10 Julai. Beliau turut mendedahkan hampir RM10 bilion telah berjaya dijimatkan dalam projek LRT3 walaupun beberapa komponen asal telah dikembalikan semula. Kos projek kini berjumlah RM21.93 bilion, iaitu RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal yang diluluskan sebanyak RM31.65 bilion ketika projek ini mula diperkenalkan pada 2015.
Perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam ini sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 26 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.