Pusingan 1 Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 – Karamjit Singh tawan Jempol dengan Proton Gen2!

Pusingan 1 Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 – Karamjit Singh tawan Jempol dengan Proton Gen2!

Selepas sekitar tujuh tahun Malaysia tidak mempunyai kejohanan rasmi untuk rali peringkat kebangsaan, akhirnya hujung minggu lalu telah berlangsungnya pusingan pertama Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 bagi meneruskan legasi Kejohanan Rali Malaysia AAM yang telah pun ditamatkan pada penghujung musim 2018. Bagi pusingan pertama ini, ia telah dilangsungkan di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan dengan Special Stage (SS) berlangsung di kebun-kebun Kelapa Sawit Gugusan Felda Raja Alias yang sebelum ini dikenali dengan nama Felda Serting, dari 2 hingga 3 Ogos 2025.

Perlumbaan kali ini menyaksikan pertarungan tiga lagenda dalam dunia rali tempatan iaitu Karamjit Singh, Saladin Mazlan dan juga Haji Sutan Mustaffa Salihin untuk merebut gelaran juara keseluruhan. Namun setelah berakhir rali yang berlangsung selama dua hari ini, Karamjit Singh yang kembali memandu Proton Gen2 4WD turbo dan dibantu juruarah Davender Singh membuktikan bahawa dia masih lagi juara walaupun dengan usia yang menjangkau 63 tahun.

Juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) kategori Produksi 2002 itu menamatkan rali ini dengan masa keseluruhan 1 jam 6 minit 14 saat, meninggalkan Haji Sutan yang memandu Subaru Impreza WRX GDB dibantu juru arah Kamarul Anuar Mohd Razzali di tempat kedua yang ketinggalan 2 minit 40 saat di belakang.

Saladin Mazlan bersama juruarah Arish Qutb di dalam jentera spaceframe MINI Deus 1.8T 4WD pula berada di tempat keempat secara keseluruhan dan tempat ketiga untuk kategori Open dan 4WD, apabila catatan masa 1 jam 15 minit 41 saat yang dibuat terpaksa di tambah dengan penalti sebanyak 1 minit 10 saat.

Manakala pasangan Ikhsan Muhammad Husni bersama juruarah Yie Sing Teh dari pasukan Purnama Rally Team melakukakan kejutan berada di tempat ketiga keseluruhan dengan catatan masa 1 jam 15 minit 57 saat dengan hanya menggunakan jentera Proton Satria 1.6 4WD, sekaligus merangkul juara kategori M3.

Rally of Jempol 2025 sepatutnya berlangsung dengan 11 SS yang terdiri dari tiga SS yang dibentuk di Felda Raja Alias 4, Felda Raja Alias 1 dan juga Felda Serting Hilir. Hari pertama perlumbaan hanya menampilkan persaingan untuk SS1 di Felda Raja Alias 1.

Walaupun dengan permukaan SS pertama yang agak teruk menggandingkan permukaan tanah liat yang kering dan keras, batu-batu besar tertanam di atas permukaan jalan dan juga kawah-kawah jalan yang agak besar di SS berkenaan, persaingan antara tiga pelumba ini sudah dilihat panas dengan masing-masing tidak takut untuk memandu secara agresif.

Namun untuk SS ini, Saladin Mazlan membuktikan bahawa dia antara pelumba yang paling berani dengan mencatatkan masa terpantas untuk hari pertama dengan masa 9 minit 26 saat, meninggalkan Karamjit di tempat kedua dengan 9 minit 26 saat dan Haji Sutan di tempat ketiga dengan masa 9 minit 36 saat.

Masuk hari kedua, pihak penganjur terpaksa membatalkan semua SS yang berlangsung di Felda Raja Alias 4 dan Felda Serting Hilir kerana laluan yang terlalu teruk yang mungkin akan menyebabkan kerosakan semua kereta yang bertanding, dan ke semua pelumba hanya bersaing di SS4, SS7, SS10 dan SS11, di mana kesemuanya berlangsung di Felda Raja Alias 1.

Bermula dari SS4, Karamjit sudah mula menunjukkan kehebatannya dengan menang hampir kesemua SS. Saladin Mazlan yang bermula garang pada hari sebelumnya menghadapi kesukaran pada hari kedua apabila berhadapan dengan masalah mekanikal pada kereta, dan menerima penalti pada SS4 kerana keluar lambat dari Service Park untuk memperbaiki kerosakan tersebut.

Pusingan 1 Kejohanan Rali Malaysia MAM 2025 – Karamjit Singh tawan Jempol dengan Proton Gen2!

Rali kali ini turut menyaksikan beberapa pelumba tidak bernasib baik, antaranya pasangan Syakirin Razaki dan Hazwan Fauzi dari pasukan East Cost Rallying yang terpaksa menamatkan perlumbaan pada SS7 apabila Subaru Impreza WRX GDB pasukan tersebut mengalami kerosakan serius pada casis yang menyebabkan suspensi hadapan belah kiri tercabut.

Namun ada juga pelumba-pelumba lain yang menarik perhatian, antaranya bintang dari disiplin Gymkhana yang lazimnya berlumba di atas permukaan tar, iaitu Mitch Chong yang semakin serasi berlumba di dalam trek gravel dengan menggondol juara kategori M2. Pasangan Khairul Nizam dan Shahrol Zainal juga turut mencuri perhatian dengan satu-satunya Proton Iriz 1.6 Turbo lengkap bersama sistem pacuan semua roda berjaya berada di tempat ke-4 dalam kategori Open dan 4WD.

Perlumbaan ini juga menampilkan seorang pelumba wanita yang memandu Proton Iriz 1.3 iaitu Nazatul Shima Mamat bergandingan dengan juruarah Nur Arsyad Nik Ahazzied, sekaligus memenangi piala Ladies Class dan juga mendapat tempat kedua dalam kelas M1.

Kejohanan Rali Malaysia AAM 2025 akan diteruskan untuk pusingan kedua di Sepang pada 16 hingga 17 Ogos ini yang dilangsungkan sekali dengan MAM Malaysia Festival of Speed (MFOS).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required