Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memaklumkan bahawa pelaksanaan kerja-kerja naik taraf sistem semboyan Laluan Kelana Jaya bagi Fasa 2 dan Fasa 3 yang sebelum ini dijangka bermula 9 Ogos telah dijadualkan semula ke tarikh baharu iaitu 6 September 2025.
“Penjadualan semula ini dibuat bagi memberi ruang kepada pelaksanaan ujian tambahan terhadap sistem semboyan baharu Fasa 1 untuk memastikan ia berfungsi dengan sempurna dan cekap sebelum pelaksanaan sepenuhnya. Ujian tambahan ini amat penting bagi menilai prestasi sistem dalam persekitaran operasi sebenar dan meminimumkan risiko gangguan operasi pada masa hadapan.
“Bagi Fasa 1, kerja-kerja naik taraf dilaksanakan pada waktu penyelenggaraan malam memandangkan kawasan yang terlibat tertumpu di sekitar depoh dan tidak melibatkan laluan utama operasi tren,” kata syarikat berkenaan.
Menurut Prasarana lagi, projek penaiktarafan ini merupakan sebahagian daripada penyelesaian jangka panjang susulan insiden gangguan sistem yang berlaku pada November 2022. Ia akan dilaksanakan secara berperingkat pada hujung minggu terpilih bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna.
“Sistem semboyan baharu SelTrac Generasi 8 yang diperkenalkan menawarkan kelebihan seperti analisis data masa nyata, keselamatan siber yang lebih baik dan kestabilan komunikasi yang lebih tinggi. Sistem baharu ini dijangka memanjangkan jangka hayat sistem semboyan sedia ada sehingga 20 tahun,” jelasnya lagi.
Jadual bagi Fasa 2 dan 3 adalah seperti di bawah:
“Seperti yang diumumkan sebelum ini bagi Fasa 2 dan 3, sesi pengujian sistem akan dilanjutkan hingga waktu pagi pada tarikh-tarikh tertentu seperti di atas. Ini menyebabkan beberapa stesen terlibat hanya akan dibuka kepada penumpang mulai jam 9 pagi, lewat daripada waktu operasi biasa iaitu jam 6 pagi.
“Langkah ini penting bagi memastikan sistem semboyan baharu dapat diuji secara menyeluruh dalam persekitaran operasi sebenar sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya Manakala stesen-stesen yang tidak terlibat dengan pengujian sistem akan beroperasi seperti biasa mengikut jadual waktu operasi harian tanpa sebarang perubahan,” tambahPrasarana.
Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang, bas dan van perantara percuma akan disediakan untuk menghubungkan stesen-stesen yang terlibat. Penumpang akan dibantu oleh kakitangan stesen, polis bantuan dan Prasarana Troopers (sukarelawan terlatih) yang akan ditempatkan di stesen-stesen terlibat dan stesen integrasi.
Papan tanda dan risalah maklumat turut disediakan di stesen dan hentian bas sebagai panduan tambahan kepada pengguna. Untuk maklumat lanjut mengenai jadual baharu naik taraf, senarai stesen terlibat serta perkhidmatan alternatif yang disediakan, orang ramai disarankan untuk melayari laman web rasmi di www.myrapid.com.my atau mengikuti saluran media sosial Rapid KL untuk sebarang perkembangan terkini.
“Prasarana ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul susulan perubahan jadual kerja-kerja naik taraf ini. Kami amat menghargai kesabaran dan kerjasama para penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan ini. Sebagai penyedia perkhidmatan rel, kami kekal komited untuk meningkatkan tahap keselamatan, kecekapan dan kebolehpercayaan sistem rel demi keselesaan dan keyakinan pengguna pada masa hadapan,” katanya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.