Malaysia bergerak selangkah lagi ke arah pelaksanaan sistem kutipan tol “multi-lane fast flow” (MLFF) tanpa palang yang dijangka akan bermula pada 2027 nanti. Ini adalah kerana pihak PLUS akan memulakan fasa perintis bagi sistem “automatic number plate recognition” (ANPR) untuk tujuan tersebut bermula Oktober ini.
Percubaan bagi sistem ANPR ini akan dilakukan di bahagian Utara terlebih dahulu, melibatkan laluan antara plaza tol Hutan Kampung dan Sungai Dua di Pulau Pinang — ini melibatkan 13 plaza tol semuanya, dengan 35 lorong laluan sebelum diperluas kepada keseluruhan laluan PLUS pada masa akan datang.
Untuk memanfaatkan sistem ini, pengguna perlu memuat turun aplikasi JustGo oleh PLUS, daftar dan masukkan data yang diperlukan (termasuk maklumat kenderaan, kaedah bayaran dll) secara percuma. Untuk kaedah bayaran juga tersedia beberapa pilihan, antaranya melalui kad debit/kredit, dan juga TnG eWallet.
Kamera ANPR yang dipasang di semua plaza tol terlibat akan membaca nombor plat kenderaan dalam masa nyata, dan memproses bayaran melalui aplikasi berkenaan yang telah dipautkan ke akaun yang didaftarkan ketika kenderaan melalui tol plaza yang terlibat. Untuk sistem ANPR ini, lorong tol masih akan menggunakan palang.
Aplikasi JustGo pula tidak hanya untuk pembayaran tol, sebaliknya juga mempunyai ciri sokongan seperti paparan e-invoice, transaksi tol dan servis mobiliti lainnya secara berperingkat.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bahawa matlamat utama sistem bayaran tol terbuka ANPR adalah untuk menjadikan pengalaman perjalanan pengguna lebih lancar dan mudah di semua lebuh raya.
“Saya yakin yang sistem ini boleh membantu industri membuat persediaan bagi pelaksanaan MLFF kelak, yang bertujuan untuk memudahkan lagi pengguna lebuh raya. Saya juga berbangga kerana sistem ini dibangunkan sendiri oleh pakar industri lebuh raya tempatan tanpa sebarang kesan kewangan ke atas kerajaan,” ujarnya.
Projek perintis ANPR ini akan memberikan peluang kepada kerajaan unutk menilai kesediaan dan ketepatannya dalam masa nyata dan keadaan trafik semasa, yang akan merintis jalan yang lebih meyakinkan bagi pengenalan MLFF, yang dijangka akan dilaksanakan pada 2027.
Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan awal bulan ini, sistem MLFF kini akan dilaksanakan melalui model “business-to-business” (B2B) secara langsung, yang bermaksud ia tidak akan melibatkan sebarang dana kerajaan. Usaha itu, yang menjadi sebahagian daripada arah tuju baru yang ditetapkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR), akan membolehkan syarikat penyedia perkhidmatan itu berurusan sesama sendiri secara langsung, melibatkan 33 syarikat konsesi lebuh raya sedia ada.
Beliau juga memaklumkan penggunaan ANPR ini akan turut membantu mengatasi masalah pengelakan bayaran tol ketika pelaksanaan MLFF kelak. Mereka yang gagal membayar tol di laluan MLFF kelak pastinya akan dikesan, kerena sistem telah merakam nombor plat kenderaan yang melalui setiap laluan plaza tol. Kaedah penguatkuasaan akan dilakukan nanti, misalnya tidak membolehkan pengguna memperbaharui cukai jalan,” jelasnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.