Siri perlumbaan one make Vios Challenge Toyota Gazoo Racing Malaysia sudah pun masuk ke ‘separa masa kedua’ bagi musim ke-8 dengan pusingan ketiga akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas pada 8 hingga 10 Ogos ini. Persaingan sengit untuk ke semua kategori dijangka akan berlangsung hangat hujung minggu ini kerana pungutan mata bagi menentukan gelaran juara keseluruhan hanya dibezakan dalam jumlah yang sangat kecil.
“Vios Challenge terus menjadi lebih daripada sekadar perlumbaan—ia adalah platform dinamik yang mencerminkan keghairahan Toyota untuk prestasi, inovasi dan pembangunan bakat tempatan. Ketika kami mencapai titik pertengahan musim 2025, kami berbangga melihat bagaimana persaingan bertambah matang dengan peningkatan intensiti, kepelbagaian dan peningkatan bilangan pemandu dari peringkat rookies hinggalah ke peringkat profesional.
“Ini adalah bukti sebenar impak inisiatif Toyota Gazoo Racing Malaysia, dan kami kekal komited untuk memupuk bakat sukan permotoran generasi akan datang sambil memberikan keterujaan kepada peminat di seluruh negara,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.
Pusingan ketiga untuk musim 2025 ini akan berlangsung sekali dengan Pusingan ke-3 Kejohanan Touring Car Malaysia (MTCC) dan juga Pusingan ke-4 Thailand Super Series. Jadi seperti pusingan ke-2 yang berlangsung bersama perlumbaan Super GT pusingan Malaysia, Vios Challenge akan sekali lagi akan dilangsungkan dalam litar penuh SIC sejauh 5.543 km satu lap.
Ini juga bermakna format separa-endurance selama satu jam juga akan digunakan untuk Race 1 pada Sabtu dan Race 2 pada Ahad, serta ketiga-tiga kelas iaitu Rookies, Sporting dan Super Sporting akan berlangsung serentak.
Bagi kategori Super Sporting, juara musim 2023 Mitchell Cheah dari pasukan Prima Pearl SP Selatan masih mengungguli kejuaraan dengan kutipan 83 mata. Namun ia masih berada pada kedudukan yang tidak selesa kerana diekori rapat oleh Freddie Ang dari pasukan Telagamas Toyota dengan 81 mata dan Ady Rahimy dari pasukan Laser Motor Racing dengan 72 mata.
“Masih terlalu awal untuk meramalkan apa-apa bagi merebut kejuaraan tetapi ya, saya dan pasukan kembali tahun ini dalam mengejar gelaran juara keseluruhan kedua selepas hampir memenanginya pada 2024,” kata Cheah. Pelumba berusia 24 tahun itu hampir-hampir mempertahankan kejuaraannya tahun lalu, namun tewas kepada Naquib Azlan dari pasukan Axle Sports hanya enam mata di belakang.
Manakala untuk kelas amatur iaitu kelas Sporting, ia kini didahului oleh graduan kelas Rookie 2021 iaitu Jwan Hii dari pasukan Hong Huat X Armada KK Racing dengan pungutan sebanyak 85 mata. Kedudukan Hii juga masih belum selamat kerana dia diekori oleh Elson Lew dari pasukan BAE Racing by ES Yang dengan 76 mata, dan juga pelumba Thailand Varunchit Wattanathanakun dari pasukan RUK Team Nexzter PMC ditempat ketiga dengan 62 mata.
“Malaysia mempunyai ramai pemandu yang berpengalaman dan penyertaan saya di sini adalah untuk menimba pengalaman. Perlumbaan di Litar Antarabangsa Petronas Sepang juga memberikan saya pengalaman pembelajaran, terutamanya dengan gabungan trek yang mempunyai bahagian naik dan turun bukit, selekoh laju dan tajam, serta laluan lurus panjang yang saya tidak alami perlumbaan di Litar Antarabangsa Chang di Thailand,” kata Wattanathanakun hanya baru berumur 17 tahun serta bekas juara kejohanan kart Rotax Max Thailand.
Wattanathanakun turut menyatakan bahawa kereta lamba Vios dengan enjin 1.5 liter yang dipandunya di Malaysia ini jelas lebih berkuasa berbanding kereta lumba Yaris dengan enjin hanya 1.2 liter yang digunakan di Thailand.
“Saya sedang menyesuaikan diri dengan kereta dengan baik. Matlamat saya musim ini adalah untuk meningkatkan kemahiran pemanduan saya dan semoga berjaya untuk mendapat kenaikan ke Kelas Super Sporting tahun depan supaya saya dapat bersaing dengan profesional,” tambahnya.
Juara untuk kelas Rookie juga belum dapat ditentukan dengan mudah kerana pendahulu kejuaraan iaitu pelumba kart, Aydan Khaliq yang mengutip 94 mata hanya berada 1 mata di hadapan pelumba simulator Rahul Dev di tempat kedua dengan kutipan sebanyak 93 mata.
Kedua-dua perlumbaan Race 1 dan Race 2 bagi pusingan ketiga ini akan disiarkan secara langsung di platform-platform media sosial Toyota Gazoo Racing Malaysia termasuk Facebook dan YouTube pada hujung minggu ini. Manakala untuk jadual perlumbaan dan lain-lain informasi berkenaan pelumba dan sebagainya anda boleh rujuk di www.toyota.com.my/en/tgrmalaysia.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.