Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

Sejak Mei lalu ketika pertama kali muncul secara rasmi di khalayak ramai dalam pameran Malaysia Autoshow 2025, bukanlah rahsia atau menjadi teka-teki bahawa Proton akan memperkenalkan model EV keduanya dalam masa terdekat.

Awal minggu ini, Proton telah pun mengadakan sesi taklimat dan pendedahan rasmi kepada media bagi model berkenaan — yang mana lagi kalau bukan Proton eMas 5 2025 — serta turut mengumumkan siri jelajah MISI 5 sebagai menyokong kempen pengenalan hatchback elektrik ini (ya, Proton secara rasmi merujuk model ini sebagai hatchback dan bukan SUV).

Telah banyak yang dilaporkan tentang model terbabit, atau sebetulnya model yang menjadi asasnya di pasaran China — model kembar kepada Geely Xingyuan/Star Wish — tetapi kini tampil sebagai model pemanduan sebelah kanan (RHD).

Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

Di China, model kembarnya itu telah terjual sebanyak 204,940 unit bagi tempoh separuh pertama tahun ini. Dan, bagi model tempatan pula, lebih daripada 752,198 jam pekerja telah dihabiskan bagi tujuan lokalisasi. Perlu dinyatakan, unit yang sedang anda lihat ini adalah unit pra-produksi dari China. Pemasangan CKD eMas 5 dijangka akan dilakukan di Tanjong Malim kelak, selepas dimulakan oleh pengeluaran eMas 7.

Proton eMas 5 merupakan model dalam segmen B yang dibangun menggunakan platform Global Modular Architecture (GMA) dan boleh digunakan untuk kenderaan BEV atau PHEV, mengikut keperluan. Ini secara tidak langsung memberi petunjuk dan kemungkinan akan adanya model plug-in hybrid bagi model sama. Tetapi kali ini, kami akan memberi tumpuan kepada perincian dan penawaran yang akan diberikan oleh Proton eMas 5 untuk pasaran tempatan terlebih dahulu.

Dalam spesifikasi yang didedahkan secara rasmi oleh Proton, setakat ini hanya ada satu varian yang disahkan, iaitu Premium. Seperti juga eMas 7, kita boleh jangkakan akan ada satu lagi varian bakal muncul kelak, iaitu Prime, dengan kapasiti bateri dan jarak perjalanan yang lebih rendah.

Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

Untuk versi Premium yang merupakan penawaran paling lengkap ini, ia akan dilengkapi bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) keluaran CATL dengan kapasiti 40.16 kWj (ini berbeza dengan Proton eMas 7 yang menggunakan bateri Aegis Geely).

Jika mengikut kitara WLTP, ia mampu memberikan jarak sejauh 325 km dengan sekali cas. Untuk tempoh pengecasan pula, eMas 5 ini mampu menampung pengecasan pantas DC maksimum sehingga 71 kW, sementara untuk pengecasan AC dengan kapasiti 6.6 kW. Bagi SoC dari 30% hingga 80%, ia boleh dicapai dalam masa 21 minit sahaja (untuk DC).

Untuk motor elektrik, ia adalah unit dari jenis 11-dalam-1 yang bersepadu, yang diletakkan di bahagian belakang. Untuk EV, ini adalah kereta pacuan roda belakang pertama oleh Proton. Tetapi jika untuk keseluruhannya, ini yang kedua — masih ingat dengan van kotak Juara?. Motor berkenaan menjana sebanyak 85 kW kuasa dan 150 Nm tork. Untuk prestasi, pecutan 0-50 km/j (bukan 100 km/j) boleh dicapai dalam masa 3.9 saat.

Selain itu, Proton eMas 5 juga lengkap dengan stereng elektrik, dan untuk sistem suspensi, bahagian depannya menggunakan jenis MacPherson Strut dan di belakang dengan jenis multi-link untuk keselesaan optimum. Untuk rim pula, varian Premium ini menggunakan saiz 16-inci, dengan saiz tayar 205/60.

Sedikit tentang senarai ciri atau kelengkapan yang menurut Proton merupakan hanya ditawarkan oleh eMas 5 bagi kelasnya. Ini termasuklah pemilih gear kristal, roda stereng dua-tona, ruang storan di bawah kerusi dengan kapasiti 28 liter, ruang storan frunk 70 liter, palang hidraulik untuk ruang but/bonet, suspensi belakang multi-link, arahan suara dalam bahasa Melayu dan Inggeris, peta bersepadu dengan lokasi stesen pengecasan, motor tunggal RWD dan pintu tailgate kuasa elektrik.

Selain itu, Proton juga menyenaraikan 10 ciri terbaik dalam kelasnya yang dimiliki oleh eMas 5. Ini termasuklah ruang simpanan 20 liter di bawah konsol tengah, pengecasan DC dalam 21 minit, jarak brek 36.9 meter, pusingan radius 4.95 meter, pemproses gred automotif, bateri dengan 185 WH/kg, unit paparan 14.6-inci dengan 1080 pixel, bateri oleh CATL, motor elektrik 11-dalam-1 dan sebanyak 32 ruang simpanan/storan keseluruhannya.

Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

Perlu juga dinyatakan, sistem infotainmen menggunakan sistem operasi Atlas, dan tidak ketinggalan adanya sokongan Apple CarPlay dan Android Auto — serta tak lupa sambungan 4G dan WiFi. Untuk kemudahan pengguna, eMas 5 juga datang dengan aplikasi khusus eMas, yang antara lain memuatkan maklumat bagi keperluan pengecasan, status kenderaan dan kawalan dari jauh.

Masih di dalam, kluster instrumen adalah melalui skrin 8.8-inci LCD, begitu juga dengan kerusi dan stereng balutan kulit. Untuk audio, tersedia enam-pembesar suara semuanya.

Proton eMas 5 dipertonton — spesifikasi dan kabin dalaman didedah; 40.16 kWj, 325 km jarak WLTP

Dari segi dimensi dan ruang barangan, Proton eMas 5 mempunyai ukuran seperti berikut: 4,135 mm panjang, 1,805 mm lebar, 1,580 mm tinggi serta jarak roda 2,650 mm. Jarak kelegaan tanah kereta ini ialah 160 mm. Semua angka dimensi ini identik dengan model Geely Xingyuan.

Bagi ruang barangan pula, ruang standard yang tersedia di belakang ialah 375 liter (dengan penyandar belakang pada kedudukannya), dan boleh ditambah menjadi 1,320 liter jika kerusi belakang direbahkan. Dan, oleh kerana ini EV yang tiada enjin, bahagian depan juga memberikan 70 liter lagi ruang simpanan tambahan.

Dari segi penampilan dan rekaan, eMas 5 Premium diberikan kemasa bumbung hitam dan kesan terapung, lampu utama LED dengan kawalan lampu tinggi pintar, lampu kabus LED di belakang.

Bagi aspek keselamatan, Proton eMas 5 datang lengkap dengan enam beg udara, ESC, ABS, sensor parkir di belakang serta kamera 360-darjah dengan paparan 3D. Bagi ciri bantuan pemanduan pula, terdapat 12 fungsi dalam sistem ADAS-nya yang disenaraikan:

  • Adaptive cruise control (ACC)
  • Autonomous emergency braking (AEB)
  • Forward collision warning (FCW)
  • Lane departure warning (LDW)
  • Blind spot detection (BSD)
  • Lane change assist (LCA)
  • Rear cross traffic alert (RCTA)
  • Rear collision warning (RCW)
  • Emergency brake assist (EBA)
  • Front vehicle departure (FVD)
  • Traffic sign recognition (TSR)
  • Door opening warning (DOW)

Turut dinyatakan ialah sistem anti-gelincir G-TCS, yang memberikan penambahbaikan dua saat ketika di permukaan licin dan pengurangan 50% bagi gelinciran roda pada permukaan kurang cengkaman.

Setakat ini dulu perincian dan spesifikasi Proton eMas 5 2025 yang telah didedahkan kepada umum. Soalan cepu emas lain seperti berapa harganya, seperti biasa, akan diumumkan nanti ketika majlis pelancarannya, tahun ini.

Gambar rasmi Proton

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required