Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah pun menyiarkan data pendaftaran kenderaan untuk bulan Julai 2025, menyaksikan Perodua masih lagi jenama terlaris dengan jualan sebanyak 33,486 unit – naik dengan drastik selepas mencatatkan angka pendaftaran terendah bulan lalu tahun ini hanya dengan 22,328 unit. Ini membolehkan Perodua mencatatkan jualan tahunan untuk tujuh bulan pertama tahun ini sebanyak 199,678 unit kenderaan.
Kedudukan nombor dua hingga lima juga masih tidak berubah sama seperti bulan lalu, di mana Proton berada di tempat kedua (13,182 unit untuk Julai, 82,953 unit tahunan), Toyota ketiga (11,414 unit untuk Julai, 68,784 unit tahunan), Honda keempat (5,117 unit untuk Julai, 40,588 tahunan) dan Jaecoo kelima (1,449 unit untuk Julai, 10,624 tahunan).
Bagi kedudukan keenam pula adalah Chery (1,194 unit untuk Julai dan 6,185 tahunan), diikuti Mitsubishi pada kedudukan ketujuh (6,185 unit untuk Julai dan 7,890 tahunan), BYD di tempat ke lapan dengan jualan 870 unit pada Julai (6,270 tahunan), Mercedes-Benz ke sembilan dengan jualan 716 pada Julai (5,330 tahunan) dan BMW ke-10 dengan jualan 699 pada Julai dan 4,372 tahunan.
Mazda berada di tempat ke-11 dengan jualan 634 unit pada Julai (4,761 tahunan), diikuti Lexus ke-12 dengan jualan Julai 622 unit (3,400 tahunan), Isuzu ke-13 dengan 603 unit (3,685 tahunan), serta Nissan di tempat ke-14 dengan jualan bulan lalu sebanyak 541 unit (3,828 tahunan).
Enam lagi jenama dalam 20 terlaris di Malaysia bagi Julai 2025 ini adalah jenama bukan dari Jepun. Tempat ke-15 dihuni oleh Great Wall Motor dengan jualan Julai 511 unit (2,735 tahunan), manakala tempat ke-16 adalah Ford yang mencatatkan jualan bulanan terbaiknya pada Julai tahun ini iaitu 475 unit (2,909 tahunan).
Satu lagi jenama China iaitu Jetour yang mula masuk ke senarai 20 terlaris pada Jun 2025, berada pada tempat lebih baik pada Julai dengan berada di tempat ke-17, mencatatkan jualan 402 unit (801 tahunan). Tesla pula jatuh ke tempat ke-18 pada Julai dengan jualan 256 unit (2,653 tahunan), jatuh dari tempat ke-11 pada Jun.
Tempat ke-19 adalah Porsche dengan jualan Julai 221 unit (1,505 tahunan), dan MG di tempat ke-20 dengan jualan 206 unit pada Julai (1,352 tahunan)
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.