Dengan tersiarnya maklumat pendaftaran untuk kenderaan baharu di Malaysia bagi Julai 2025 oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ini dia kami siarkan 20 kereta paling laris di Malaysia sepanjang bulan lalu.
Kembar sedan dan hatchback Perodua Bezza dan Axia masih lagi berada di kedudukan pertama dan kedua dengan masing-masing terjual sebanyak 9,771 unit dan 7,980 unit. Manakala tempat ketiga adalah Perodua Myvi dengan jualan sebanyak 6,530 unit, memintas semula kedudukan Proton Saga yang berada di kedudukan tersebut bulan sebelumnya.
Saga terjual sebanyak 6,500 unit sepanjang Julai 2025, dan walaupun kedudukannya jatuh, ini merupakan rekod bulanan terbaik sedan segmen-A Proton itu tahun ini. Kedudukan kelima dan keenam masih lagi milik model-model keluaran Perodua iaitu Alza dan Ativa di mana masing-masing terjual sebanyak 5,016 unit dan 2,836 unit.
Tempat ke tujuh hingga ke sembilan masih tidak berubah sama seperti bulan sebelumnya iaitu Vios, Hilux dan City (sedan + hatchback). Namun bagi kedudukan ke-10, ia kini milik Proton X50 (facelift + prefacelift) yang terjual sebanyak 1,932 unit, naik tiga anak tangga berbanding bulan sebelumnya.
Toyota Alphard (kebanyakkannya unit recond) terjual sebanyak 1,715 unit untuk berada di tempat ke-11. Manakala tempat ke-12 dan ke-13 adalah model dari Proton iaitu Persona (terjual 1,499 unit, naik dua anak tangga berbanding Jun) dan S70 (terjual 1,398 unit, jatuh dua anak tangga berbanding bulan sebelumnya).
Perodua Aruz yang baru diberikan perubahan kecil baru-baru ini terjual sebanyak 1,353 unit, jatuh tiga anak tangga dan berada di tempat ke-15. Manakala satu-satunya model dari China yang berada dalam senarai ini iaitu Jaecoo J7 terjual sebanyak 1,016 unit sepanjang Julai untuk berada di tempat ke-16.
Barisan model Honda iaitu Civic, HR-V dan CR-V tidak berubah berada di tempat ke-17 hingga ke-19, dengan jualan masing-masing 894 unit, 819 unit dan 783 unit sepanjang bulan lalu. Toyota Veloz terkeluar dari senarai ini pada bulan Julai, di mana tempat ke-20 dirampas oleh Mitsubishi Xpander dengan jualan sebanyak 719 unit.
Untuk jualan kumulatif tahunan, kedudukan masih lagi sama kecuali Toyota Alphard yang kini berada di tempat ke-12 dan Honda HR-V berada di tempat ke-13.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.