Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meneruskan pelaksanaan Op Luxury di seluruh negara bagi mengesan kenderaan mewah yang melanggar peraturan lalu lintas terutamanya tiada cukai jalan dan perlindungan insurans untuk tempoh lama.
Menerusi Op Luxury 3.0 yang dijalankan bermula 7 hingga 9 Ogos lalu di seluruh negara, JPJ telah menyita sebanyak 104 kenderaan mewah termasuk Ferrari, Porsche dan Ford Mustang, laporan Harian Metro.
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata jumlah keseluruhan kenderaan mewah yang disita menerusi Op Luxury 1.0 dan 2.0 yang dilaksanakan sejak Jun lalu telah mencecah 258 unit, yang antaranya milik ahli perniagaan, selebriti dan pempengaruh serta warga asing, selepas dikesan gagal membayar cukai jalan serta perlindungan insurans.
“Dalam Op Luxury 3.0 yang dijalankan bermula Khamis sehingga kelmarin, sebanyak 104 kenderaan mewah dipandu warga tempatan dan warga asing ditahan JPJ, menjadikan keseluruhan 258 kenderaan disita sepanjang operasi itu. Kebanyakan pemilik kenderaan memberi alasan biasa iaitu terlupa memperbaharui cukai jalan dan perlindungan insurans termasuk ada yang sudah tamat tempoh sejak tahun 2022,” katanya.
Tambah beliau, bagi operasi terbaru itu kes tertinggi direkodkan di Kuala Lumpur membabitkan 93 kenderaan, diikuti Selangor (61), Pulau Pinang (28), Sarawak (16), dan Kelantan (15). Antara kesalahan dikesan adalah tidak mempunyai cukai jalan, tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen sah, pamer nombor kenderaan yang belum didaftarkan serta kesalahan teknikal lain.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 619 notis saman kepada pemandu kenderaan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan. Manakala kesemua kenderaan ditahan dibawa ke Depoh Simpanan JPJ untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) serta peraturan lain yang berkaitan.
“Selepas kita (JPJ) tahan kenderaan itu, ada pemilik yang akur dengan segera memperbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan masing-masing. Kenderaan kemudian diserahkan kembali kepada pemilik,” katanya sambil menambah JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
Dalam masa yang sama, katanya, JPJ akan meningkatkan penguatkuasaan dan meminta semua pasukan JPJ di seluruh negara melipatgandakan penguatkuasaan,” katanya. Malah pihaknya juga akan menyerahkan laporan penuh bagi memohon pindaan undang-undang kepada Kementerian Pengangkutan hari ini.
Pada 7 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sekiranya pemilik mahukan kenderaan mewah yang disita itu dikembalikan, mereka perlu melunaskan segala bayaran iaitu memperbaharui cukai jalan dan insurans sebelum kenderaan mereka boleh dilepaskan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.