Projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai laluan Ketereh-Kok Lanas kini lancar selepas tertangguh

Projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai laluan Ketereh-Kok Lanas kini lancar selepas tertangguh

Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kemajuan Projek Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) bagi jajaran Pakej 2B iaitu melibatkan laluan dari Ketereh ke Kok Lanas kembali berjalan lancar selepas berhadapan dengan masalah hingga membuatkan ia tertangguh.

“Pakej ini yang melibatkan pembinaan jalan berkembar empat lorong sepanjang 6.2 kilometer dengan mengikut piawaian JKR R5 dan kos kontrak semasa RM73.7 juta kini digerakkan oleh kontraktor penyelamat, Daie Engineering Sdn. Bhd. telah dimulakan semula pada Februari 2025 dan kini mencapai kemajuan 6.10%, mendahului jadual 5.10%. Projek ini disasarkan siap pada Ogos 2026,”kata Alexander selepas mengadakan lawatan tapak baru-baru ini.

Menurut beliau, sebagai sebahagian daripada pembinaan keseluruhan Lebuhraya KBKK sepanjang 70.4 kilometer, Pakej 2B akan menjadi penghubung penting yang bakalm engurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan 8, khususnya pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Selain itu, ia juga dapat menjimatkan masa perjalanan dari tujuh jam kepada 4.5 jam, mengurangkan jarak perjalanan sejauh 24 kilometer serta meningkatkan keselamatan jalan raya serta membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

“Saya sedar bahawa pelaksanaan projek ini berdepan beberapa cabaran, termasuk proses pengambilan balik tanah, penyelarasan utiliti, kekurangan tenaga kerja, cuaca tidak menentu, dan kenaikan harga bahan binaan. Namun, saya memberi jaminan bahawa Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya akan memantau rapat dan menguruskan cabaran ini dengan sebaik mungkin supaya projek dapat disiapkan mengikut jadual.

“Bagi saya, projek ini bukan sekadar membina jalan baharu — ia adalah nadi penghubung rakyat Kelantan kepada peluang yang lebih luas, sama ada dari segi ekonomi, sosial, atau kualiti hidup. Apabila siap kelak, ia akan menjadi sebahagian daripada rangkaian Lingkaran Tengah Utama (LTU) yang memperkukuh hubungan Pantai Timur dengan Lembah Klang,” katanya yang berharap untuk melihat rakyat Kelantan dan Pantai Timur menikmati manfaat projek ini dalam tempoh yang ditetapkan.

Pada Februari lalu, beliau mengesahkan keseluruhan projek Lebuhraya KBKK telah mencapai tahap kemajuan kira-kira 80% dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Lebuhraya sepanjang 66.88 kilometer dengan kos RM2.33 bilion itu dipecahkan kepada tujuh pakej menghubungkan bandar Kota Bharu ke Kuala Krai sebelum bersambung dengan projek Lingkaran Tengah Utama (LTU). Ia melibatkan laluan bagi Pasir Hor-Kadok, Kadok-Ketereh, Ketereh-Kok Lanas, Kok Lanas-Bukit Tiu, Bukit Tiu-Berangan Mek Nab, Berangan Mek Nab-Keroh, dan Keroh-Kuala Krai.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required