TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

Pusingan ketiga musim ke-lapan perlumbaan one-make Vios Challenge untuk Toyota Gazoo Racing (TGR) Festival Malaysia telah pun berakhir hujung minggu lalu, dan seperti dijangkakan persaingan untuk merebut mata bagi dinobatkan sebagai juara keseluruhan telah menyajikan aksi perlumbaan yang cukup sengit bagi ketiga-tiga kelas yang dipertandingkan.

Perlumbaan ini dilangsungkan sekali dengan Pusingan ke-3 Kejohanan Touring Car Malaysia (MTCC) dan juga Pusingan ke-4 Thailand Super Series. Jadi seperti pusingan ke-2 yang berlangsung bersama perlumbaan Super GT pusingan Malaysia, Vios Challenge akan sekali lagi dilangsungkan dalam litar penuh SIC sejauh 5.543 km satu lap dalam format separa-endurance selama satu jam, dengan ketiga-tiga kelas dilepaskan serentak.

RACE 1

Kelas Super Sporting

TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

Pusingan ketiga ini menyaksikan pelumba muda Amer Harris kembali berlumba, dan terus membuktikan kepakarannya di Litar Antarabangsa Sepang ini dengan mencatatkan masa terpantas ketika sesi kelayakan, kemudian memimpin perlumbaan dari mula sehingga berkibarnya bendera penamat tanpa dicabar oleh pemandu kelompok di belakang, walaupun menghadapi masalah transmisi.

“Saya dapat rentak yang baik sepanjang perlumbaan dan cuba mendahului dengan lebih jauh di mana pada satu ketika saya berada 2.9 saat di hadapan pelumba Axle Sport Aman Nagdev tetapi pada pertengahan perlumbaan saya menghadapi masalah transmisi, bermakna saya perlu melakukan semuanya bagi memastikan kereta dapat dipandu hingga habis. Akhirnya saya melepasi garisan penamat dengan hanya berada satu saat di hadapan,” kata Amer yang memandu untuk pasukan KMS 333 Motorsports.

Walaupun terlepas pusingan pertama dan kedua kerana menumpukan perhatian pada perlumbaan yang disertai di luar negara, Amer masih berharap agar dia dapat menghabiskan musim ini di kedudukan lima terbaik kerana pusingan kali ini menawarkan mata berganda berbanding pusingan lain.

TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

Ketika Amer berada di hadapan dengan aman, situasi untuk merebut kedudukan kedua dan ketiga tidak berlangsung dengan tenang. Drama bermula seawal pelumba dilepaskan apabila pelumba pasukan Laser Motor Racing, Eddie Lew merempuh tembok keselamatan pada laluan lurus utama SIC, setelah ditolak dari belakang ketika semua pelumba berebut mendapatkan kedudukan terbaik sebelum tiba ke selekoh pertama.

Dalam kekecohan tersebut beberapa pelumba dapat menyelinap bagi mendapatkan kedudukan lebih baik seperti Aman Nagdev yang berjaya meluru ke kedudukan kedua, diikuti Freddie Ang dari petak keempat berjaya naik ke tempat ketiga dan pendahulu kejuaraan musim ini Mitchell Cheah yang bermula di petak ke-11 berjaya ke hadapan dengan berada di tempat kelima. Ada juga pelumba yang tidak bernasib baik seperti Ady Raimy yang bermula di grid kedua, ketinggalan berada di kedudukan keempat.

Perlumbaan tamat dengan Aman Nagdev berjaya kekal di tempat kedua, manakala Freddie Ang juga dapat kekal di tempat ketiga. Mitchell Cheah pula berjaya menamatkan perlumbaan di tempat keempat walaupun diasak bertubi-tubi oleh pelumba pasukan Wheelcorp iaitu Nabil Azlan.

Kelas Sporting

TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

Walaupun dilepaskan bersama dengan kategori Super Sporting, drama yang berlaku dalam persaingan kategori Sporting ini menyebabkan kamera perlumbaan sering memberikan sorotan pada kelas untuk pemandu amatur ini. Ia bermula dengan persaingan untuk merebut tempat pertama antara Nick THZ dari pasukan Sokudo Racing by ES Yang dan Justin Toh dari pasukan BAE Racing by ES Yang di belakangnya.

Pada lap-12, persaingan antara kedua-dua pelumba ini menjadi semakin di luar kawalan apabila kedua-duanya saling melanggar dan menghimpit sesama sendiri. Kemuncak drama ini terjadi di selekoh ke-9 apabila Justin Toh menolak Nick THZ dari belakang dan kemudian terbabas serta berpusing di atas rumput.

Justin Toh berjaya menamatkan perlumbaan di tempat pertama, diikuti oleh pendahulu kejuaraan iaitu Jwan Hii di tempat kedua. Namun selepas itu kemenangan untuk Toh dibatalkan kerana insiden dengan Nick THZ, membolehkan Hii sekali lagi menang serta melebarkan jarak pungutan mata keseluruhan. Keputusan yang menimpa Toh juga membolehkan pelumba simulator Taj Izrin Aiman naik ke tempat kedua, dan Dato’ Ken Foo naik ke tempat ketiga.

Kelas Rookie

TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

Dalam kelas yang disertai oleh peserta program pembangunan pelumba muda Toyota Gazoo Racing Malaysia ini menyaksikan Harkiesh Geeva mendominasi keseluruhan perlumbaan dengan berada sepenuhnya di hadapan dan berada di tempat ke-20 secara keseluruhan.

Harkiesh meninggalkan Ian James di tempat kedua dengan kelebihan 13 saat di hadapan. Manakala James pula terpaksa bertarung dengan Justin Rahul Dev yang menyaksikan kedudakan antara mereka bertukar beberapa kali, tetapi akhirnya ia berpihak kepada James dan Dev terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

RACE 2

Kelas Super Sporting

TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

Menerusi kaedah grid terbalik berdasarkan keputusan Race 1, Race 2 yang berlangsung pada hari Ahad ini menyaksikan ia dipimpin oleh Najiy Ayyad dari pasukan Modern Racing ketika bermula. Mitchell Cheah yang bermula dari petak ke-3 bijak mengambil peluang apabila berjaya meluru ke tempat kedua ketika keluar dari selekoh kedua, memintas Freddie Ang.

Asakan demi asakan menyaksikan Najiy Ayyad hanya bertahan sebagai pendahulu perlumbaan sehingga lap ke-2, dan selepas itu Mitchell Cheah terus memimpin perlumbaan hingga ke garisan penamat. Kedudukan kedua milik Freddie Ang manakala ketiga milik Aman Nagdev, menyaksikan pelumba dari India tersebut mendapat satu lagi kedudukan podium dalam pusingan ketuga ini.

Dengan kemenangan ini membolehkan Cheah terus berada ditempat pertama carta pungutan mata dan diekori rapat oleh Freddie Ang. Namun tugas berat menanti Cheah pada pusingan keempat nanti dia terpaksa membawa beban sehingga 50kg kerana kemenangan yang telah dicapai pada perlumbaan kali ini.

Kelas Sporting

TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

Justin Toh yang dibatalkan penyertaannya pada Race 1 turut tidak dibenarkan untuk berlumba dalam Race 2 kelas Sporting. Kali ini pelumba-pelumba yang memulakan perlumbaan dari kelompok belakang berjaya mendaki kedudukan masing-masing, menyaksikan dua pelumba graduan kelas Rookie iaitu Adam Mikail dari pasukan G-Mart Motorsport dan Sharique Zulqarnain dari pasukan FIA Boulevard Racing menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua.

Walau bagaimanapun penyertaan Sharique terpaksa dibatalkan selepas jenteranya diperiksa dan didapati tidak berada pada berat minima yang disyaratkan. Ini membolehkan Dato’ Ken Foo naik ke tempat kedua, dan pelumba Thailand Varunchit Wattanathanakun dari pasukan RUK Team Nexzter PMC 52 dihadiahkan posisi tempat ketiga.

“Saya tidak bernasib baik ketika memulakan Race 2 kerana saya tidak dapat menamatkan Race 1 dan bermakna saya terpaksa bermula dari belakang grid. Sejujurnya, saya mengalami masa yang agak sukar untuk mengekalkan rentak dan masa pusingan yang konsisten sepanjang perlumbaan tetapi syukur saya masih berjaya membawa kereta kembali ke kedudukan atas,” kata Adam.

Kelas Rookie

TGR Festival Vios Challenge 2025 pusingan 3 – drama ‘panas’, saingan juara keseluruhan masih terbuka!

Akibat pelanggaran yang berlaku dengan pelumba dari kelas Sporting di awal perlumbaan menyebabkan Harkiesh Geeva yang sedang mendahului berpusing dan kemudian kembali ke pit untuk menukar tayar yang pancit. Insiden tersebut turut menyebabkan dua pelumba Rookie iaitu Aydan Khaliq dan Genevieve Ooi turut masuk ke pit untuk membuat pembaikan ringkas.

Ini membolehkan Ian James memenangi perlumbaan ini, diikuti Justin Rahul Dev di tempat kedua. Harkiesh yang tidak berputus asa masih menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

“Saya benar-benar gembira dengan keputusan untuk Race 2. Kereta terasa sempurna, saya tidak mengalami sebarang masalah mekanikal. Pengurusan tayar dalam perlumbaan ini bagaimanapun, adalah isu besar bagi saya, terutamanya dalam keadaan panas ini, yang kemudiannya diterjemahkan kepada banyak berlaku understeer dan itu sesuatu untuk saya tangani untuk perlumbaan masa depan,” kata Ian.

TGR Vios Challenge Malaysia musim ke lapan ini akan diteruskan untuk pusingan terakhir yang dijadualkan akan berlangsung pada Januari tahun hadapan. Namun penganjur perlumbaan ini iaitu UMW Toyota masih belum mengumumkan tarikh dan juga tempat sebenar perlumbaan itu akan berlangsung.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required