BYD Seal 2025 muncul dalam teaser untuk Malaysia — kemaskini suspensi, rim baru; bakal dilancarkan

BYD Seal 2025 muncul dalam <em>teaser</em> untuk Malaysia — kemaskini suspensi, rim baru; bakal dilancarkan

BYD Malaysia telah menunjukkan iklan teaser bagi model Seal dalam satu hantaran Facebook terbaru, dan itu menjadi petunjuk bahawa versi EV tersebut yang dikemaskini akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.

Seal 2025 mula dijual di Singapura pada April tahun ini, melibatkan kemaskini spesifikasi seperti ruang barangan “frunk” di depan yang lebih besar, kini dengan 53 liter (naik tiga liter), serta rim dengan rekaan baru dan juga pelindung matahari di bumbung larasan elektrik.

Suspensi Seal 2025 juga diberi peningkatan dengan sistem penyerap hentak adaptif DiSus-C, seperti yang dilihat dilakukan di Singapura dan Indonesia. Versi berbeza bagi sistem yang sama juga sudah ditawarkan untuk Denza D9 yang dilancarkan di Malaysia pada Februari lalu.

Seal 2025 dengan kemaskini mungkin akan hadir dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia, sama seperti penawarannya ketika ini. Sebagai rujukan, di Singapura, varian Dynamic dilengkapi motor di belakang dengan janaan 136 PS/310 Nm, dan dikuasakan oleh bateri 61.44 kWj yang memberikan jarak sehingga 460 km WLTP.

Seterusnya varian Premium, dengan motor elektrik 313 PS/360 Nm dan kuasa dibekalkan oleh bateri 82.56 kWj yang memberikan jarak sehingga 570 km WLTP. Varian paling tinggi, Performance pula dilengkapi dua motor dengan unit janaan 215 PS/310 Nm di depan sementara unit janaan 313 PS/360 Nm di belakang. Output gabungannya memberikan janaan 530 PS dan 670 Nm, dengan bateri 82.56 kWj dan jarak 520 km WLTP.

Semua varian ini boleh dicas 30%-80% dalam masa 32 minit, manakala varian asas Dynamic mampu menampung pengecasan DC 100 kW dan hingga 7 kW untuk AC — untuk AC, cas dari 0-100% adalah dalam masa 8.6 jam. Bagi varian dengan bateri lebih besar pula, pengecasan DC boleh dilakukan hingga 150 kW dan AC hingga 7 kW, membolehkan pengecasan dari 0-100% dalam masa 15.2 jam bagi AC.

Merujuk kepada model yang dijual di Singapura, Seal 2025 datang dengan sembilan beg udara, sistem kamera 360-darjah, sensor parkir depan dan belakang, Isofix, ACC, AEB, amaran penukaran lorong dan penghindaran, serta bantuan mengekalkan lorong.

Selain itu ada juga amaran perlanggaran depan, pengesan papan tanda trafik, amaran lintasan trafik depan dan belakang dengan brek, maklumat penghad kelajuan pintar, pengesan titik buta, amaran bukaan pintu, bantuan lampu tinggi dan head-up display.

Di Malaysia, model BYD Seal ketika ini dijual dengan harga dari RM163,800 (Dynamic), RM179,800 (Premium) dan RM199,800 (Performance) — semua ini harga jualan, bukan harga atas jalan.

BYD Seal 2025 Singapura

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required