Lotus Cars Malaysia secara rasmi melancarkan barisan model Lotus Emeya 2026 untuk pasaran tempatan, dengan memperkenalkan semula lima varian serta penjenamaan baru untuk model EV berprestasi tinggi ini. Model asas, iaitu Emeya 600, ditawarkan pada harga bermula RM459,000, menjadikannya RM96,000 lebih murah berbanding harga pelancaran model tahun lalu yang bermula pada RM555,000. Varian tertinggi, Emeya 900 Sport Carbon pula ditetapkan pada RM729,000 — RM78,000 lebih rendah berbanding model terdahulu, Emeya R.
Kelima-lima varian Emeya 2026 hadir dengan sistem pacuan semua roda menerusi konfigurasi dua motor elektrik. Nombor “600” dan “900” pada nama model merujuk kepada kuasa kuda yang ditawarkan setiap varian. Untuk varian Emeya 600, sistem kuasanya menghasilkan 603 hp dan 710 Nm tork, membolehkan kereta ini memecut dari 0 ke 100 km/j dalam hanya 4.15 saat. Kelajuan maksimumnya ialah 250 km/j. Ia juga dilengkapi pek bateri 102 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 610 km mengikut kitaran WLTP.
Sementara itu, varian lebih berkuasa iaitu Emeya 900 pula menawarkan sehingga 905 hp dan 985 Nm tork. Dengan transmisi dua kelajuan, model ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 2.78 saat. Kelajuan maksimumnya ialah 256 km/j, manakala jarak pemanduan pula dianggarkan sehingga 485 km. Kedua-dua varian 900 turut menggunakan bateri 102 kWh yang sama seperti varian 600.
Satu lagi kelebihan penting yang dikongsi semua varian Emeya 2026 ialah sistem pengecasan pantas. Dengan struktur binaan 800 volt, model ini menyokong pengecasan DC sehingga 420 kW, membolehkan pengecasan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 15 minit. Ia juga boleh menerima pengecasan AC sehingga 22 kW.
Dari aspek kelengkapan, Emeya 600 sebagai model asas didatangkan dengan suspensi udara aktif bersama sistem kawalan redaman berterusan (CDC), rim bersaiz 20 inci, sistem tork vectoring menggunakan brek, dan lampu utama LED Matrix. Bahagian dalamannya dilengkapi sistem bunyi premium KEF dengan 15 pembesar suara, head-up display 29 inci, kawalan suhu empat zon serta kemasan fabrik prestasi LotusWear.
Varian Emeya 600 GT SE pula menambah pakej bantuan parkir automatik dan kawalan parkir jauh, rim aloi 21 inci, sistem brek dengan angkup enam piston, bumbung kaca pintar, but belakang bebas tangan, lampu suasana boleh laras serta plet tepi pintu bercahaya.
Bagi mereka yang mahukan lebih prestasi dinamik, Emeya 600 Sport SE menawarkan pakej pengendalian dinamik Lotus yang merangkumi anti-roll bar dan sistem stereng roda belakang aktif. Ia juga dilengkapi spoiler belakang, diffuser belakang dan dam udara hadapan aktif. Bahagian dalaman menampilkan tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan pengudaraan, serta pintu dengan sistem tutup lembut (soft-close).
Beralih ke varian Emeya 900 Sport, model ini menerima transmisi dua kelajuan serta pakej pengendalian dinamik yang sama seperti varian 600 Sport SE. Ia juga dilengkapi spoiler belakang aktif, manakala ruang dalamannya hadir dengan tema fabrik Quartz daripada LotusWear Performance.
Varian tertinggi dalam barisan ini, Emeya 900 Sport Carbon, tampil lebih agresif dengan pakej gentian karbon luaran merangkumi panel bonet, bahagian tengah dan bawah bampar hadapan, pelapik roda, pintu serta bampar belakang.
Ia turut menerima pakej gentian karbon dalaman yang melibatkan konsol tengah, panel suis pintu, lampu dalaman serta bahagian belakang kerusi. Model ini juga menambah pakej aerodinamik aktif yang merangkumi diffuser belakang dan dam udara hadapan aktif, selain tempat duduk hadapan dengan fungsi urut dan pengudaraan.
Lotus Cars Malaysia kini menerima tempahan bagi model Lotus Emeya 2026 menerusi cawangan mereka di Glenmarie, Pavilion Damansara Heights dan Pulau Pinang. Penghantaran pertama dijangka akan bermula seawal bulan September ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.