Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan trade plates – model CKD pertama jenama ini?

Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan <em>trade plates</em> – model CKD pertama jenama ini?

Xpeng G6 Facelift sekali lagi telah dilihat di Malaysia, kali ini dikesan oleh pembaca paultan.org, Najmi Afiq. Masih dibaluti penyamaran tetapi kini menggunakan nombor pendaftaran perdagangan (trade plates), SUV elektrik yang diberi suntikan lebih segar ini dilihat berhampiran Ampang Waterfront dan memberikan petanda kuat bahawa pelancarannya di pasaran tempatan bakal tiba tidak lama lagi.

Kami telah berpeluang melihat dengan dekat G6 versi facelift ini di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini, yang turut menjadi lokasi Xpeng mendedahkan X9 buatan Indonesia. G6 juga dijangka menjadi model pemasangan tempatan (CKD) seterusnya di negara tersebut, seperti yang dinyatakan oleh pengeluar kereta dari China itu awal tahun ini.

Bagi pasaran Malaysia, kami dimaklumkan pada bulan Mac lalu, selepas pelancaran X9, sebarang rancangan CKD masih dalam peringkat perbincangan. Ketika itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto, Datuk Francis Lee Kok Chuan, berkata Bermaz Xpeng selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia sedang bekerjasama dengan Xpeng untuk membangunkan program CKD, namun tidak mendedahkan model mana yang pertama dipasang di sini.

Buat masa ini, kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) dikecualikan daripada duti import dan eksais sehingga akhir 2025, manakala EV CKD menikmati pengecualian duti eksais dan cukai jualan sehingga 31 Disember 2027. G6 pada masa ini ialah EV CBU yang berharga antara RM168,820 hingga RM188,820 (masing-masing naik RM3,000 atas jalan tanpa insurans), jadi agak relevan model CKD yang bakal dilancarkan itu akan kekal dengan harga yang lebih kompetitif. Apa pun, adakah G6 akan menjadi model Xpeng versi CKD pertama yang dijual di sini? Buat masa ini, kita hanya mampu membuat spekulasi.

Xpeng G6 facelift dikesan lagi di Malaysia, kali ini dengan <em>trade plates</em> – model CKD pertama jenama ini?

Di China, G6 facelift ditawarkan dalam tiga varian dengan harga bermula dari RMB176,800 (RM105,000) hingga RMB198,800 (RM118,000). Dua varian pertama dilengkapi bateri 68.5 kWh dengan jarak gerak CLTC sehingga 625 km, manakala varian tertinggi menggunakan bateri 80.8 kWh yang mampu memberikan jarak 725 km.

Ketiga-tiga varian menggunakan motor elektrik tunggal berkuasa 296 PS dan tork 450 Nm yang memacu roda belakang dan menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.3 saat. Jika dibandingkan dengan model sebelum facelift, jarak pemanduan juga berubah seiring dengan kapasiti bateri – sebelum ini 66 kWh dengan jarak 580 km dan 87.5 kWh dengan jarak 755 km.

Perubahan paling ketara pada G6 facelift adalah pada sistem pengecasannya di mana ia masih menggunakan struktur 800 volt. Namun kadar pengecasan dipertingkat daripada 3C ke 5C yang membolehkan pengecasan penuh dilakukan dalam masa hanya sekitar 12 minit dari 10% ke 80%. Buat masa ini, belum dapat dipastikan sama ada versi pacuan semua roda (AWD) akan diperkenalkan di Malaysia atau tidak. Sebagai rujukan, model AWD sebelum ini hadir dengan kuasa 487 PS, tork 660 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.9 saat, tetapi masih belum masuk ke Malaysia.

Selain daripada model keluarannya, Xpeng turut berusaha mengukuhkan pasukan lokal di Malaysia, apabila menyiarkan iklan jawatan kosong di LinkedIn tiga minggu lalu untuk jawatan sebagai country manager. Walaupun penerangan kerja tersebut tidak menyebut apa-apa berkaitan pemasangan tempatan, ia menyatakan bahawa banyak kerja di peringkat serantau diperlukan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required