Syarikat e-hailing Bolt yang berpangkalan di Estonia melancarkan perkhidmatan terbarunya, Bolt Business, di Malaysia. Inisiatif ini diperkenalkan bagi membantu syarikat menguruskan perjalanan pekerja dengan lebih cekap dan sistematik.
Melalui platform ini, Bolt Business menawarkan ruang pengurusan perjalanan berpusat, lengkap dengan alat pelaporan automatik tanpa sebarang yuran pendaftaran. Ia direka bagi menghapuskan keperluan proses tuntutan manual bagi perjalanan yang dilakukan oleh pekerja untuk tujuan kerja harian, mesyuarat atau tugasan operasi di lapangan.
Dengan satu akaun sahaja, syarikat boleh menetapkan had perjalanan, menetapkan pusat kos, memantau penggunaan serta mengakses laporan masa sebenar. Ciri-ciri ini membolehkan pasukan kewangan dan sumber manusia menyusun semula pengurusan perbelanjaan, mengurangkan penggunaan kertas dan membuat keputusan berdasarkan data berkenaan mobiliti syarikat.
Selain itu, integrasi dengan platform pihak ketiga seperti Zoho, SAP Concur, Rydoo dan Expensify turut disediakan, membolehkan Bolt Business disepadukan dengan mudah ke dalam sistem pengurusan perbelanjaan sedia ada.
Menurut Pengurus Besar Bolt Malaysia, Afzan Lutfi, Bolt Business dibangunkan untuk memudahkan urusan perjalanan syarikat dan pekerja. Beliau berkata ramai pihak masih bergelut dengan tuntutan yang rumit dan proses manual untuk sesuatu yang sepatutnya semudah perjalanan menaiki kenderaan.
Dengan pelancaran ini, beliau berkata lagi, syarikat diberikan penyelesaian yang lebih bijak dan telus dalam pengurusan perjalanan, sambil membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada rakan pemandu tempatan. Beliau turut menegaskan bahawa langkah ini bukan sahaja memajukan mobiliti perniagaan, malah mencerminkan komitmen berterusan Bolt terhadap pasaran Malaysia.
Bolt yang dilesenkan sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), mula beroperasi di Lembah Klang sejak pelancarannya pada November 2024. Dalam tempoh hanya tiga bulan, platform itu mencatatkan peningkatan sebanyak 540% dalam bilangan rakan pemandu, manakala jumlah penumpang berdaftar meningkat sebanyak 280%
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.