Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR), selaku pengendali Terowong SMART telah melancarkan Pas Perjalanan Tol Tanpa Had (2P2TH) SMART atau Merdeka Unlimited Travel Pass (MUTP) bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68. Majlis pelancaran ini telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, semalam.
Menurut ALR, tawaran MUTP ini berkuatkuasa selama sebulan iaitu dari 16 Ogos hingga 16 September 2025 dengan bayaran hanya sekali bernilai RM68. Di mana tawaran ini memberikan penjimatan sehingga RM64 iaitu hampir 50% bagi yang menggunakan Tol SMART setiap hari.
“MUTP merupakan penzahiran rasa terima kasih dan penghargaan kepada semua pengguna tegar Terowong SMART yang telah turut sama-sama mempromosi aspirasi mobiliti bandar yang lebih cekap, selamat dan berdaya tahan. Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha ALR menyokong aspirasi Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menyediakan infrastruktur tol yang mesra rakyat dan inklusif,” kata ALR menerusi kenyataan media yang dikeluarkan.
Menteri KKR pula berkata, “Melalui program MUTP ini, pengguna yang menggunakan SMART untuk berulang-alik ke tempat kerja setiap hari (44 kali sebulan), akan menikmati penjimatan sehingga RM64, memandangkan purata bayaran tol bulanan boleh mencecah RM132. Selain itu, ia memberi akses pantas ke pusat bandar melalui lebuh raya yang menampung purata 19,000 kenderaan sehari, sambil menyokong operasi satu-satunya terowong dwi-fungsi di dunia yang menggabungkan laluan trafik dan saliran banjir.
“Inisiatif ini membuktikan bagaimana pemain industri, khususnya di sektor infrastruktur, mampu mengambil pendekatan proaktif dalam membantu rakyat mengurus kos kehidupan harian, terutamanya di kawasan bandar.”
Tambah beliau, perkhidmatan Terowong SMART adalah antara kemudahan kejuruteraan terbaik negara yang memberi impak besar dalam pengurusan banjir dan meningkatkan mobiliti bandar. Ia bukan sekadar projek infrastruktur, malah menjadi lambang inovasi tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Antaranya UN Habitat Scroll of Honour Award, British Construction Industry Award; ASEAN Outstanding Engineering Achievement Award serta disenaraikan oleh CNN sebagai antara ‘Most Impressive Tunnels in the World’.
“Saya yakin bahawa apabila infrastruktur diurus secara holistik – dari aspek kejuruteraan, nilai sosial, dan tadbir urus – hasilnya akan memberi manfaat berganda kepada rakyat dan negara, seterusnya mengukuhkan semangat keterjaminan dan kelestarian seperti yang dihasratkan dalam Malaysia MADANI,” katanya.
Bagi pengguna Terowong SMART yang ingin mendapatkan kad MUTP, ia boleh dibeli di lokasi di bawah ini:
- Lorong tol Lebuhraya SMART (12 lorong) dari KL (Arah Utara) dan Sg. Besi (Arah Selatan)
- Kaunter Jualan Plaza Tol SMART
- Kawasan Rehat & Rawat (RSA) Lebuhraya KESAS – Kinrara dan Awan Besar
- Kaunter Jualan Plaza Tol KESAS – Kemuning, Sunway, Awan Besar Barat dan Awan Besar Timur
- Kaunter Jualan Lebuhraya SPRINT – Plaza Tol Bukit Kiara
- Kaunter Jualan Lebuhraya LDP – Kawasan Rehat Petaling Jaya Utara (Hentian Sebelah)
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.