Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2025 telahpun melabuhkan tirainya hujung minggu lalu, dengan edisi ketiga acara berkenaan yang diadakan dari 8-10 Ogos di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu merekodkan seramai 100,000 pengunjung.
Bagi edisi tahun ini, TASKL menyajikan lebih banyak jentera-jentera ubahsuai terkini yang dibawa dari Jepun, serta menampilkan lebih banyak gerai-gerai jualan yang menampilkan pelbagai barangan eksklusif, peralatan prestasi dan komponen alat ganti dan juga kereta-kereta skala kecil ditawarkan pada harga istimewa.
Antara kereta ubahsuai yang menarik pengunjung ke acara ini termasuk penampilan dua buah jentera dari Liberty Walk yang membuat penampilan sulungnya di luar Jepun iaitu Ferrari F40 yang penuh kontroversi dengan dipadankan kit badan lebar LB Walk, dan juga Super Silhouette ER34 iaitu Nissan Skyline R34 yang diberi imej seakan jentera lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an.
Selain dari penampilan dua jentara ini, reruai Liberty Walk di TASKL 2025 ini juga diserbu oleh pengunjung untuk membeli pelbagai barangan eksklusif jenama itu, serta mendapatkan tandatangan pengasasnya Wataru Kato dan anaknya Hyuma Kato.
Pakar ubahsuai enjin rotary sensasi, RE Amemiya turut membawa ‘demo car’ terbaharunya iaitu Matsukiyo Kizami 3ROTOR NA-7 yang baru didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025 Januari lalu. Kereta yang diasaskan dari Mazda RX-7 FD3S berkenaan kini menerima muka dan bahagian belakang baharu rekaan RE Amemiya, dan ia menerima enjin wankel rotary dengan tiga rotor menghasilkan kapasiti 1.962 liter, dan mampu menghembuskan 435 hp tanpa sebarang pengecas turbo. Reruai RE Amemiya ini turut diserikan dengan penampilan Ken Amemiya, iaitu anak pengasas syarikat, Isami Amemiya.
Pengasas badan penala Top Secret, Smokey Nagata juga turun ke MITEC buat tahun ketiga berturut-turut sempena TASKL. Tahun ini beliau hadir dengan membawa antara jentera paling sukar pernah dihasilkan sendiri olehnya iaitu Top Secret VR32 Stealth Nissan GT-R, iaitu Nissan Skyline GT-R R32 yang disumbatkan dengan enjin VR38DETT V6 3.8 liter berkuasa 1,072 hp bersama kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan, sistem pacuan semua Attesa ET-S dari Nissan GT-R R35, lengkap dengan dengan bahagian dalaman yang juga diambil dari R35.
Antara jentera ubahsuai baharu lain yang dibawa terus dari Jepun termasuk Crewch Delusion GT-R R356C yang merupakan Nissan GT-R dengan rupa diinpirasikan dari model konsep Nissan Hyper Force serta model edisi terhad GT-R50 Italdesign, dan juga ‘Rolls Royce Jepun’ iaitu Toyota Century yang diubahsuai oleh Aless dan diberi nama Aless Century Complete WL, di mana enjin V8 5.0 liter sedan mewah tersebut kini bernafas dengan kuasa 518 hp.
Selain itu ‘Father of the modern GT-R’ Hiroshi Tamura turut datang ke TASKL buat kali kedua. Malah pelumba lagenda Jepun ‘dari jalanan ke litar lumba’ Manabu ‘Max’ Orido turut membuat penampilan di TASKL 2025 bersama anak perempuannya, Maaya Orido yang kini juga telah bergelar pelumba serta duta untuk jenama Alpharex.
Ikon-ikon JDM lain yang turut membuat penampilan ke TASKL tahun ini termasuk drifter lagenda dan juga pengasas jenama kit badan dan peralatan prestasi Vertex iaitu Takahiro Ueno, pengasas KUHL Racing Takahiro Kataoka dan juga presiden ALESS Takamasa Ueyama.
“Daripada senyuman lebar, gelak tawa, keterujaan dan paparan tenaga yang luar biasa oleh pengunjung di pameran itu, yang kemudiannya dicerminkan dalam beribu-ribu siaran media sosial yang menggambarkan detik gembira bertemu dengan legenda talaan mereka dan melihat barisan kereta yang luar biasa, kerja keras yang kami lakukan telah membuahkan hasil!” kata Jason Yap, Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies, Pemegang Lesen Rasmi Tunggal Tokyo Auto Salon di Malaysia. TASKL diadakan dengan kerjasama San Ei Corporation sebagai pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon, dan Persatuan Salon Auto Tokyo.
“Kejayaan mana-mana acara bukan semata-mata meninggalkan anda berdasarkan angka, dan malah lebih gembira kerana mereka berpuas hati. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua orang yang datang ke acara ini, sokongan berterusan dan semangat anda yang berkongsi adalah yang menyemarakkan acara ini sambil kami berusaha untuk menjadikannya lebih besar, lebih baik dan lebih menarik setiap tahun,” tambah Jason.
GALERI: Gambar rasmi TASKL 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.