Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro 2025 – model pertama jenama ini dipasang (CKD) di M’sia, ASEAN; RM462k

Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro 2025 – model pertama jenama ini dipasang (CKD) di M’sia, ASEAN; RM462k

Dilancarkan di Malaysia pada Mei lalu, Audi Q7 2025 tiba dengan varian tunggal S line 3.0 TFSI quattro yang merupakan versi pemasangan tempatan (CKD), malah menjadi model pertama dari jenama ini yang dipasang di Malaysia serta Asia Tenggara.

Ia ditawarkan dengan harga atas jalan RM462,422 tanpa insurans dengan waranti standard dua-tahun, waranti tanpa had perbatuan, meningkat ke RM482,422 dengan pakej waranti Audi lima-tahun serta pakej selenggara.

Ternyata harganya lebih kompetitif berbanding model persaingnya yang juga versi CKD iaitu Mercedes-Benz GLE450 AMG Line pada harga RM529,000 atas jalan, dan BMW X5 xDrive40i M Sport yang dilancarkan bulan lalu, bermula dari RM470,000 (RM508,000 dengan waranti lanjutan dan servis). Sementara itu, Volkswagen Touareg R-Line pula berharga dari RM385,000 setakat Januari.

Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro 2025 – model pertama jenama ini dipasang (CKD) di M’sia, ASEAN; RM462k

Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro dilengkapi enjin 3.0 liter turbo TFSI V6 yang menghasilkan 340 PS dari 5,200 rpm hingga 6,400 rpm – sama seperti Touareg – namun dengan sistem elektrifikasi hibrid ringkas yang memberikan tambahan tork 50 Nm, menjadikan jumlah keseluruhan 500 Nm dari 1,370 rpm hingga 4,500 rpm. Kuasa tambahan ini datang daripada sistem hibrid ringkas 48 voltan yang menggabungkan belt-driven starter-generator, membolehkan kereta ini meluncur dengan enjin dimatikan sehingga 40 saat pada kelajuan antara 55 km/j hingga 160 km/j.

Hamburan kuasa disalurkan ke keempat-empat roda melalui transmisi automatik lapan-kelajuan. Rangkaian kuasa hibrid ringkas ini membolehkan Q7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j yang dihadkan secara elektronik.

Spesifikasi pasaran Malaysia untuk Q7 hadir dengan pakej S line yang merangkumi reka bentuk pengambilan udara yang lebih sporty, diffuser belakang dan kemasan badan sama warna, bersama pakej black styling plus dengan kemasan hitam bagi gril, cermin sisi dan komponen lain. Ia turut diberikan rim aloi dua tona 22-inci Audi Sport jejari-V yang dibaluti tayar bersaiz 285/35R22.

Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro 2025 – model pertama jenama ini dipasang (CKD) di M’sia, ASEAN; RM462k

Di bahagian dalam, ia menerima paparan instrumen Audi Virtual Cockpit berukuran 12.3-inci berfungsi sebagai panel instrumen pemandu dan boleh memaparkan pengguna jalan raya di sekitar kenderaan dalam bentuk 3D, manakala skrin sentuh sentral bahagian atas berukuran 10.1-inci menyediakan fungsi infotainmen melalui antara muka pengguna MIB 3. Di bawahnya terdapat paparan berukuran 8.6-inci untuk fungsi kenderaan terpilih serta kawalan pendingin hawa.

Kelengkapan lain yang turut diberikan termasuk stereng bawah rata (flat-bottomed steering wheel) dan tempat duduk sport laras kuasa yang dibaluti kulit quilted Valcona. Tempat duduk ini turut dilengkapi fungsi pemanas, pengudaraan, memori, serta pelarasan sokongan lumbar berkuasa.

Kabin Q7 ini boleh memuatkan tujuh penumpang dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3, dan ruang bagasi berkapasiti 780 liter dengan barisan ketiga dibaringkan, yang boleh diperluaskan sehingga 1,908 liter apabila barisan kedua dan ketiga dibaring sepenuhnya.

Ciri kelengkapan standard yang turut diberikan termasuklah paparan utama, pintu bukaan-lembut, tirai suria untuk pintu belakang, navigasi Audi Connect, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar Qi, sistem bunyi 3D premium Bang & Olufsen dengan 19-speaker, sistem kamera 360-darjah, bantuan parkir, suspensi udara adaptif talaan-sport, stereng roda belakang dan tailgate kuasa bebas tangan.

Bagi kelengkapan keselamatan aktif pula, Q7 menerima brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal lorong, evasive steering assist, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, AEB, amaran membuka pintu dan lampu tinggi adaptif.

Untuk warna luarannya pula, Audi Q7 S line 3.0 TFSI quattro pemasangan tempatan (CKD) ditawarkan dengan pilihan Waitomo Blue, Daytona Grey, Mythos Black, dan Glacier White.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required