Mahindra BE 6 Batman Edition – ‘Batmobile’ produksi rasmi, dihasilkan hanya 300 unit di India, RM134k

Mahindra BE 6 Batman Edition – ‘Batmobile’ produksi rasmi, dihasilkan hanya 300 unit di India, RM134k

Selain dari Ironman, Batman adalah satu lagi watak superhero yang tidak ‘dikurniakan’ kuasa luar biasa, sebaliknya super power yang digunakan untuk melawan penjahat adalah kekayaan yang membolehkan ia mencipta pelbagai senjata dan keperluan untuk berlawan. Namun Batman tidak mempunyai sut yang boleh terbang seperti Ironman, tetapi ia bergerak ke sana-sini dengan pelbagai kenderaan unik, dan antara yang paling utama adalah kereta yang digelar Batmobile.

Dalam kebanyakkan filem-filem Batman, Batmobile biasanya adalah kereta rekaan khas yang tidak diasaskan dari model-model produksi, jadi agak sukar nak hasilkan replika Batmobile yang boleh dipandu setiap hari seperti beberapa replika kereta Hollywood yang lain seperti mesin masa Back To The Future atau KITT dari siri Knight Rider. Tapi untuk peminat Batman, ini mungkin jawapannya – pembuat SUV dari India iaitu Mahindra memperkenalkan model edisi terhad yang digelar sebagai Mahindra BE 6 Batman Edition.

Menurut Mahindra, model ini dihasilkan dengan kerjasama pemilik watak Batman iaitu Warner Bros menerusi Warner Bros Discovery Global Consumer Products (WBDGCP), dan ia merupakan SUV pertama dalam dunia yang ditawarkan secara komersil yang diinspirasikan dari Batman! Malah ia dihasilkan dalam jumlah yang benar-benar terhad iaitu hanya 300 unit.

Mahindra BE 6 Batman Edition – ‘Batmobile’ produksi rasmi, dihasilkan hanya 300 unit di India, RM134k

Model istimewa ini diasaskan dari Mahindra BE 6, dengan unit rangkaian kuasa sama dibekalkan 285 PS (210 kW) dan tork maksima 380 Nm, bersama bateri 79 kWj. Apa yang membuatkan ia istimewa adalah pelbagai perincian unik dipadankan pada bahagian luaran dan dalaman.

Badan Mahindra BE 6 ini dilayangkan dengan warna hitam satin, bersama pelekat-pelekat grafik Batman istimewa pada pintu dan bumbung. Kemudian ia turut diberikan emblem-emblem dengan logo Batman dari siri trilogi The Dark Knight pada penutup hab rim aloi 20-inci, fender hadapan, bampar belakang, cermin tingkap dan juga cermin belakang.

Selain itu ia juga diberikan lencana ‘BE 6 × The Dark Knight’ di belakang, pelekat Batman Edition pada panel pelindung pintu belakang, dan juga lampu puddle yang memancarkan logo Batman The Dark Knight ke permukaan tanah apabila pintu dibuka.

Perincian-perincian istimewa turut boleh ditemui pada bahagian-bahagian tersorok termasuk serlahan cat berwarna emas diberikan pada komponen suspensi dan juga pada angkup brek yang hanya boleh dilihat pada celah-celah liang rim yang kecil.

Pada bahagian dalaman Mahindra BE 6 Batman Edition ini menerima balutan upholsteri gabungan kulit dan sued dengan serlahan benang emas dan label menampilkan logo Batman The Dark Knight. Manakala pada panel paparan instrumen yang dibalut kulit berwarna charcoal turut menerima kemasan berwarna emas yang seakan mengelilingi kokpit pemandu.

Serlahan-serlahan emas turut diberikan pada roda stereng, suis brek parking elektronik dan juga pada kemasan cecincin suis putar kawalan skrin infotainmen. Papan pemuka ‘Batmobile’ ini dilengkapkan dengan plak Batman Edition juga berwarna emas yang tercatat nombor siri unik SUV edisi terhad ini.

Selain itu SUV ini juga menampilkan logo Batman pada butang Boost, animasi grafik logo Batman pada panel paparan instrumen digital, loga Batman pada panel papan pemuka sebelah penumpang dan juga tali pemegang pintu yang diinspirasikan dari kereta lumba juga diberikan logo Batman. Apa yang paling menarik, Mahindra turut menghasilkan bunyi enjin pada sebelah luar yang diinspirasikan dari Batman.

Mahindra BE 6 Batman Edition ini dijual pada harga 27.79 lakh, atau 277,900 rupees (RM133,940). Penghantaran pertama kepada pembeli yang telah menempahnya akan bermula di India pada 20 September ini, iaitu tarikh yang sama dengan Hari Batman Antarabangsa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required