Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

Risalah rasmi bagi model Zeekr 7X untuk pasaran Malaysia sudah dimuat naik di laman web rasmi jenama itu. Ini sekali gus mengesahkan senarai spesifikasi dan kelengkapan yang bakal ditawarkan oleh SUV elektrik itu di sini, yang dijangka akan dilancarkan dalam suku ketiga ini.

Zeekr 7X pertama kali dipertontonkan di sini dalam acara Malaysia Autoshow (MAS) pada Mei, sebelum tampil sekali lagi dalam acara Premium Auto Car Expo (PACE) bulan lalu. Seperti yang diketahui sebelum ini, SUV elektrik pertama jenama itu di sini akan ditawarkan dalam tiga varian (dengan harga jangkaan), termasuk varian paling asas RWD Standard Range (RM182,000), varian pertengahan RWD Long Range (RM195,000) dan yang paling lengkap, AWD Performance (RM230,000).

Zeekr 7X mempunyai ukuran dimensi 4,825 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,666 mm tinggi dan jarak roda 2,925 mm. EV dengan binaan 800-volt ini akan bersaing dengan Tesla Model Y (dari RM195,450 hingga RM242,450) dan BYD Sealion 7 (dari RM187,710 hingga RM203,710) — dimensinya lebih besar daripada model Tesla tersebut, tetapi sedikit lebih kecil berbanding model BYD.

Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

Berikut adalah senarai spesifikasi bagi setiap varian:

    Zeekr 7X RWD Standard Range

  • Output motor elektrik: 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan 440 Nm; RWD
  • Pecutan 0-100 km/j: 6 saat
  • Bateri: 75 kWh lithium iron phosphate (LFP)
  • Jarak (WLTP): 480 km
  • Pengecasan AC: 22 kW; 10-100% dalam 4.5 jam
  • Pengecasan DC: 450 kW; 10-80% dalam 10.5 minit
  • Output Vehicle-to-load (V2L): 3.3 kW
  • Zeekr 7X RWD Long Range

  • Output motor elektrik: 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan 440 Nm; RWD
  • Pecutan 0-100 km/j: 6 saat
  • Bateri: 100 kWh nickel cobalt manganese (NCM)
  • Jarak (WLTP): 615 km
  • Pengecasan AC: 22 kW; 10-100% dalam 5.5 jam
  • Pengecasan DC: 420 kW; 10-80% dalam 16 minit
  • Output Vehicle-to-load (V2L): 3.3 kW
  • Zeekr 7X AWD Performance

  • Output motor elektrik: 646 PS (637 hp atau 475 kW) dan 710 Nm; AWD
  • Pecutan 0-100 km/h: 3.8 saat
  • Bateri: 100 kWh nickel cobalt manganese (NCM)
  • Jarak (WLTP): 543 km
  • Pengecasan AC: 22 kW; 10-100% dalam 5.5 jam
  • Pengecasan DC: 420 kW; 10-80% dalam 16 minit
  • Output Vehicle-to-load (V2L): 3.3 kW

Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

Untuk kelengkapan, varian paling asas datang dengan suspensi jenis double wishbone di depan dan multi-link di belakang, serta rim 19-inci. Lampu utama, DRL dan lampu belakang LED adalah standard, serta lampu ambient RGB dinamik.

Ciri lain yang ada termasuklah pintu tanpa bingkai, pintu belakang larasan kuasa, bumbung kaca panoramik dengan pelindung matahari larasan kuasa, stereng balutan kulit larasan manual, balutan kerusi kulit, kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori, kerusi belakang larasan kuasa dengan larasan 10-darjah untuk penyandar, kluster instrumen digital 13.02-inci, skrin sentuh infotainmen 16-inci dengan paparan 3.5K mini-LED, sistem bunyi dengan 10-pembesar suara, kawalan pendingin tiga zon serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Naik ke varian RWD Long Range, ia menerima tambahan seperti stereng dengan larasan kuasa, kerusi depan dengan liang udara dan fungsi urut, head-up display AR dengan ruang pancaran 36.21-inci, sistem bunyi Zeekr Sound 21-pembesar suara dan dua pengecas tanpa wayar 50-watt.

Risalah Zeekr 7X 2025 untuk Malaysia diumum — hingga 646 PS, 615 km WLTP; dari RM182k-RM230k

Untuk varian paling lengkap, AWD Performance menerima peningkatan rim 20-inci dan suspensi udara kebuk tunggal dengan penyerap hentak kawalan berterusan (CCD). Bahagian luarannya juga menerima Zeekr Stargate Integrated Smart Light Curtain yang menampilkan 1,831 LED di panel depan di bawah lampu utama.

Ciri mewah lain termasuk pintu larasan elektrik yang unik untuk 7X, kerusi balutan kulit Nappa serta pelindung matahari larasan kuasa untuk tingkap sisi di belakang. Semua varian menggunakan cip Qualcomm 8295, dan mempunyai 36 ruang storan di dalam kabin, termasuk dua di bawah kerusi belakang.

Ciri keselamatan dan alat bantuan pemandu adalah sama untuk semua varian, termasuk: tujuh beg udara, kawalan melayar adaptif dengan kawalan ke tengah lorong, bantuan mengekalkan lorong, penukaran lorong automatik, AEB dengan amaran serta penghindaran perlanggaran depan, brek parkir kecemasan, amaran bukaan pintu, peninjau titik buta, sokongan penghindaran langgar belakang, amaran lintasan trafik di depan dan belakang, peninjau pemandu, bantuan parkir automatik dan kamera 360-darjah.

Ada lima pilihan warna badan, terdiri daripada Crystal White, Onyx Black, Tech Grey dan Forest Green yang ditawarkan untuk semua varian, manakala Brooke Blue yang dipadankan dengan bumbung warna perak hanya khusus untuk AWD Performance. Berdasarkan risalah berkenaan, Crystal White adalah pilihan standard, dan warna lain akan dikenakan kos tambahan.

Untuk ruang dalaman, tema warna hitam adalah penawaran standard, dengan varian paling tinggi diberi pilihan kombinasi putih dan ungu. Risalah berkenaan juga turut menyenaraikan pilihan untuk rim 21-inci dengan kos tambahan, tetapi tidak dinyatakan berapa.

Dengan harga jangkaan, serta senarai spesifikasi dan kelengkapan yang diumumkan ini, adakah Zeekr 7X pilihan yang berbaloi untuk Malaysia?

Zeekr 7X di PACE 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required