Himpunan RXZ Member 7.0 2025 bakal berlangsung pada 22 hingga 23 Ogos ini di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu dan pastinya ia menarik perhatian para pemilik motosikal berkenaan dari seluruh negara untuk menyertainya.
Disebabkan ia melibatkan antara perhimpunan terbesar di antara pemilik motosikal, pastinya ada pelbagai perkara atau insiden berlaku antaranya kemalangan jalan raya dan melanggar undang-undang trafik yang ditetapkan.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya menjangkakan program berkenaan dihadiri kira-kira 100,000 pemilik motosikal berkenaan dari seluruh negara. Bagi penganjuran kali ini, polis Terengganu telah merancang penugasan 600 pegawai dan anggota di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan keselamatan dan kelancaran program.
“Para peserta dinasihati agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan termasuk tidak memodifikasi motosikal tanpa mengikut spesikasi yang dibenarkan serta mengikut peraturan lalu lintas yang lain. Pihak polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk menyita motosikal sekiranya ada yang melanggar peraturan lalu lintas.
“Pastikan memiliki lesen memandu yang sah dan cukai jalan yang belum tamat tempoh serta menyelenggara motosikal dengan baik sebelum perjalanan,” katanya sewaktu mempengerusikan mesyuaran berkaitan penganjuran RX-Z Member 7.0 2025 di IPK Terengganu semalam.
Mesyuarat ini turut dihadiri oleh pihak ketua-ketua jabatan IPK Terengganu, ketua polis daerah Terengganu, penganjur program, wakil agensi penguat kuasa serta pemilik stesen minyak bagi membincangkan aspek keselamatan, kawalan lalu lintas, dan pematuhan undang-undang sepanjang program.
Selain itu, Mohd Khairi juga berkata, para peserta tidak boleh membawa barangan terlarang serta mengelakkan aktiviti mencurigakan. Bukan itu sahaja, para peserta juga harus menjaga ketenteraman awam dengan tidak membuat bising di tempat awam dan tidak mengabaikan kewajipan solat bagi yang beragama Islam.
Pada penganjuran program tahun lalu, sebanyak sembilan kemalangan direkodkan membabitkan tiga kemalangan maut masing-masing satu kes di daerah Marang, Dungun dan Kemaman. Manakala, enam lagi kes mengakibatkan kecederaan iaitu tiga kes di Kemaman, dua kes di Dungun dan satu kes di Marang.
Guys, kalau korang nak sertai acara ini, tolong patuhi undang-undang lalu lintas yang ditetapkan. Jangan nak merempit, tunjuk aksi lagak ikut suka di jalan raya hingga membahayakan nyawa sendiri dan orang lain, jangan nak show off dengan membuat bising hingga mengganggu ketenteraman awam dan jaga nama baik korang sebagai pencinta tegar RXZ.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.