Selepas pelancaran sulungnya di United Kingdom, Jaecoo J5 EV kini memasuki pasaran Thailand secara rasmi. Model SUV elektrik segmen-B ini ditawarkan dalam dua varian iaitu Dynamic dan Max, masing-masing pada harga promosi 549,000 baht (kira-kira RM71,000) dan 599,000 baht (sekitar RM78,000). Harga ini hanya sah untuk 1,000 unit pertama sehingga 30 September, sebelum dinaikkan kepada 629,000 baht (RM82,000) dan 679,000 baht (RM88,000).
Menariknya, model ini dikenali di Thailand sebagai Jaecoo 5 EV (tanpa huruf ‘J’ dalam namanya) dan ia diimport sepenuhnya (CBU) dari China. Ia dilengkapi bateri berkapasiti 58.9 kWh — sedikit lebih kecil berbanding versi UK — namun masih boleh menerima pengecasan pantas DC 80 kW dan pengecasan AC 11 kW. Dengan keupayaan ini, ia mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 461 km mengikut piawaian NEDC (atau kira-kira 400 km mengikut piawaian WLTP).
Dari aspek prestasi, motor elektrik yang dipasang di bahagian hadapan menghasilkan 211 PS dan 288 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 175 km/j. Jaecoo J5 EV ini mencatatkan panjang 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak antara roda 2,620 mm. Ruang simpanan terdiri daripada frunk hadapan 35 liter dan ruang but belakang 480 liter, yang boleh diluaskan hingga 1,284 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata.
Kedua-dua varian Dynamic dan Max hadir dengan mod pemanduan Eco, Normal dan Sport, rim aloi 18 inci bersama tayar 235/55, penghawa dingin dua zon automatik dengan corong belakang, panel instrumen digital 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar 50W, enam beg udara serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Untuk varian Max, ia menerima beberapa ciri tambahan seperti cermin sisi boleh lipat automatik dengan fungsi pemanas, sistem audio enam pembesar suara, rel bumbung, bumbung panoramik, penghadang cahaya berkuasa, pintu but elektrik, lampu suasana, stereng dan panel pintu balutan kulit, tempat duduk depan larasan kuasa dan berpengudaraan, perehat tangan tengah belakang, skrin sentuh tengah bersaiz 12.3 inci (berbanding 9 inci pada Dynamic), serta ciri keselamatan canggih seperti brek kecemasan automatik (AEB) dan kawalan kelajuan adaptif (ACC).
Pelanggan yang membeli Jaecoo J5 EV di Thailand juga menerima jaminan kenderaan selama lapan tahun atau 200,000 km, serta jaminan untuk motor elektrik dan bateri voltan tinggi selama lapan tahun atau 160,000 km. Pakej pembelian turut disertakan dengan insurans percuma untuk setahun serta pemasangan pengecas wallbox di rumah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.