Selalunya gambar-gambar intipan prototaip Proton Saga MC3 yang diuji di atas jalan raya awam diambil pada hari siang. Tapi yang ini lain sikit – Syafiq Ismail menjumpai dan sempat merakamkan foto unit prototaip berkenaan yang diuji pada waktu malam, kemudian dikongsikan di FB Group paultan.org Automotive/Car Discussion.
Apa yang lain pada waktu malam? Semestinya dalam keadaan gelap lebih perincian berkenaan rekaan lampu dapat dilihat. Menerusi foto ini dengan jelas model ini diberikan lampu belakang dengan grafik jalur LED yang diispirasikan dari rekaan pada ‘abang besar’ Saga iaitu sedan segmen-C Proton S70.
Sedikit imej bahagian hadapan turut dapat dirakam dan jelas bahawa Saga MC3 ini menerima lampu hadapan LED jenis projektor. Walau bagaimanapun masih tidak diketahui sama ada semua varian Saga MC3 ini akan menerima lampu yang sama atau tidak.
Sebelum ini telah tertiris beberapa maklumat yang mendedahkan bahawa Saga MC3 2025 akan ditawarkan dalam tiga varian. Namun ketiga-tiga varian tersebut disahkan akan menerima enjin 1.5 liter empat-silinder baharu yang akan menggantikan enjin Campro VVT 1.3 liter S4PE yang digunakan pada versi sedia ada.
Bagi enjin baharu berkenaan, ia dipercayai adalah enjin dari siri BHE15 yang sama dengan enjin pada X50 facelift yang sudah dilancarkan, tetapi tanpa pengecas turbo dan hanya dibekalkan dengan sistem suntikan bahan api port. Anda boleh baca lebih perincian berkenaan enjin tersebut pada PAUTAN INI.
Dan yang paling menarik, Proton akan menawarkan dua transimisi automatik berdasarkan varian yang pembeli pilih, namun tiada pilihan kotak gear manual akan diberikan. Untuk anda yang masih mahu rasa tukaran gear sebenar bolehlah memilih Saga dalam varian asas Standard dan pertengahan Executive di mana dua varian ini dibekalkan dengan kotak gear automatik konvensional empat-kelajuan 4AT. Manakala untuk pemandu yang mahu pemanduan yang lebih efisien boleh memilih varian tertinggi Saga Premium yang dibekalkan dengan kotak gear CVT automatik.
Beberapa foto intipan yang turut tertiris sebelum ini juga mendedahkan bahawa Saga MC3 ini menerima lampu hadapan dan juga gril yang menampilkan elemen corak kain songket serta ‘etheral bow’ baharu seperti model-model terkini Proton yang lain. Malah ia juga menampilkan jalur lampu nyalaan siang LED diletak dalam lampu utama yang kelihatan seperti bersambung dengan ‘etheral bow’ pada gril.
Foto bahagian dalaman juga sudah terdedah, menunjukkan bahawa Saga menerima papan pemuka dirombak sepenuhnya, menampilkan skrin berkembar untuk paparan instrumen digital dan skrin infotainmen. Roda stereng juga telah ditukar menggunakan unit rata dibawah yang sama seperti X50 dan S70.
Saga MC3 ini dibangunkan dari platform AMA Proton, di mana ia masih berasaskan platform sedia ada tetapi ditingkat taraf bagi memastikan ia terus relevan dari segi ujian keselamatan, standard terkini dan sebagainya. Walaupun muka dan bahagian belakang menerima rombakan rekaan yang besar, kerangka asas badan dan juga kesemua bentuk pintu masih lagi nampak serupa dengan versi MC2 sedia ada.
GALERI: Foto-foto intipan Proton Saga MC3 2025
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.